Usul Pinda Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor bagi Persidangan Secara Atas Talian dikemuka hari ini

Shah Alam, 30 Ogos: Dewan Negeri Selangor hari ini mengemukakan satu usul di bawah Peraturan Tetap 26 dan 69(4) bagi meminda Peraturan-Peraturan Tetap yang membolehkan persidangan Dewan Negeri Selangor diadakan secara atas talian secara keseluruhan atau secara hibrid pada masa akan datang.

Mengikut Peraturan Tetap 69(4), usul ini dibawa ke Dewan Negeri Selangor untuk dicadangkan dan disokong, seterusnya dikemukakan kepada Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor untuk dikaji, diperhalusi dan dipertimbangkan bagi tujuan penyediaan Penyata Pindaan Peraturan Tetap yang akan dibentangkan dan dibahaskan pada persidangan akan datang.

Usul yang dibawa oleh pihak Kerajaan tersebut dikemukakan oleh EXCO Kerajaan Negeri Selangor, Y.B. Datuk Teng Chang Khim (Pelabuhan Klang):

“Pertama, Mesyuarat Dewan Negeri Selangor boleh diadakan secara atas talian secara keseluruhannya atau secara separa atas talian atas permohonan Menteri Besar atas alasan darurat, pandemik atau kecemasan luar jangka yang sangat memudaratkan di mana kehadiran kendiri tidak harus diadakan;

“Kedua, Mesyuarat Jawatankuasa Dewan Negeri boleh diadakan secara atas talian secara keseluruhannya atau secara separa atas talian setelah Speaker menerima pengesahan daripada Menteri Besar bahawa Negeri Selangor sedang berada dalam keadaan darurat, pandemik atau kecemasan luar jangka yang sangat memudaratkan di mana kehadiran kendiri tidak harus diadakan”.

Jawatankuasa Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Speaker kini mempunyai 7 orang ahli di kalangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor yang menggabungkan Ahli-Ahli Dewan Negeri Kerajaan dan Pembangkang.

Pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020 yang berlangsung bermula 30 Oktober 2020 lalu, Dewan Negeri Selangor telah berjaya meluluskan beberapa pindaan dalam  Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor yang telah diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa ini bagi menambah baik perjalanan persidangan Dewan Negeri Selangor dan urusan-urusan Dewan Negeri.