Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

284) SIDANG DEWAN ATAS TALIAN / BERCAMPUR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Dewan Negeri Selangor sudi meminda peraturan tetap untuk membenarkan sidang dewan atas talian atau sidang dewan atas talian bercampur dengan kehadiran fizikal? Wabak Covid-19 jelas menunjukkan keperluan yang sama. Baik Selangor bersedia sebelum bencana seterusnya.

    Keadaan yang ada pada masa ini masih mengizinkan persidangan Dewan Negeri diadakan dalam keadaan normal dengan kehadiran fizikal. Dalam situasi Covid-19, lawatan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) ke Dewan Negeri Selangor pada 3 Jun 2020 (Rabu) memutuskan kedudukan jarak tempat duduk Ahli Dewan Negeri (ADN) yang sedia ada di dalam dewan persidangan adalah menepati keperluan penjarakan fizikal yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan beberapa penyesuaian terhadap penjarakan tetamu dan pemerhati yang hadir.

    Sehubungan itu, Dewan Negeri Selangor telah mengikuti garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membolehkan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020 yang telah diadakan bermula 13 Julai hingga 16 Julai 2020 diadakan dengan kehadiran fizikal beserta penyesuaian terhadap situasi pandemic Covid-19.

    Pada masa ini, Dewan Negeri Selangor adalah fleksibel terhadap penyesuaian keadaan semasa yang berlaku. Pada masa yang sama, Dewan Negeri Selangor juga bertindak berdasarkan keperluan yang munasabah bagi memastikan persidangan dapat diteruskan sebagai badan demokrasi untuk membahaskan keperluan dan menyampaikan suara rakyat.

    Dewan Negeri Selangor meraikan semua pandangan untuk penambahbaikan Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor termasuklah pindaan terhadap kaedah persidangan atas talian dengan justifikasi / keperluan yang munasabah dengan mengambilkira pandangan semua pihak, mengambilkira pelaksanaannya di peringkat Dewan-Dewan Negeri / Parlimen-Parlimen di peringkat dunia serta meneliti peraturan-peraturan sedia ada.

    Sekiranya segala aspek peraturan dan kelaziman di peringkat Dewan-Dewan Negeri / Parlimen dipatuhi beserta persetujuan majoriti Ahli Dewan Negeri Selangor untuk meminda Peraturan Tetap bagi membolehkan persidangan atas talian atau bercampur dengan kehadiran fizikal, maka Dewan Negeri Selangor tiada halangan bagi pelaksanaannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.