[Selangorkini] DUN Bandar Utama kumpul senarai individu layak dapat vaksin

PETALING JAYA, 1 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sedang mengumpulkan senarai nama penerima yang layak mendapat suntikan pelalian di bawah Program Vaksin Selangor (Selvax).

Ahli Dewan Negerinya berkata semakan terperinci akan dibuat sebelum pendaftaran dibuka dengan setiap DUN diperuntukkan kuota seramai 2,600 orang.

Jamaliah Jamaluddin berkata sasaran adalah mereka dalam kategori penerima Inisiatif Peduli Rakyat sedia ada seperti Skim Mesra Usia Emas, Kasih Ibu Smart Selangor dan Skim Peduli Sihat.

“Ia termasuk individu banyak menyumbang kepada ekonomi negeri misalnya penjaja kecil, pemandu e-panggilan dan mereka yang sering mendampingi masyarakat setempat.

“Selain itu, pertimbangan bagi kes khas seperti orang kelainan upaya (OKU), mereka yang mempunyai penyakit kritikal dan belum mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi mencegah isu pembuangan sampah haram di kawasan perumahan SS20 di sini hari ini.

Sementara itu, Jamaliah berkata setiap wakil rakyat memiliki perancangan masing-masing bagi memastikan rakyat mendapat vaksin seterusnya membantu melengkapkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Sebagai contoh, Bandar Utama tiada banyak kilang berbanding kawasan lain, jadi sudah tentu kita tidak akan menumpukan pekerja kilang,” katanya lagi.

Selvax dilancarkan Kerajaan Selangor bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini meliputi Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi memelihara pekerja.

Maklumat berkaitan Selvax boleh dicapai melalui pautan https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22-6600. Orang ramai juga boleh merujuk Facebook, Twitter dan Instagram @SelangorVAX.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin (kiri) dan Ahli Majlis MBPJ Zon 6, Loyis Uding (kanan) menunjukkan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang bagi mengesan aktiviti pembuangan sampah haram di SS20, Petaling Jaya pada 1 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Sumber: https://selangorkini.my/2021/07/dun-bandar-utama-kumpul-senarai-individu-layak-dapat-vaksin/