[Selangorkini] Baucar persekolahan ringan beban mangsa banjir, tepat pada masanya

Shah Alam, 4 Feb: Pemberian baucar persekolahan RM100 kepada kira-kira 40,000 pelajar dalam kalangan keluarga terjejas banjir disifatkan tepat pada masanya.

Ahli Dewan Negeri Sentosa Dr G Gunarajah berkata bantuan itu amat diperlukan ketika ini, lebih-lebih lagi penduduk mengalami kerugian akibat bencana Disember tahun lalu.

“Segala jenis sumbangan daripada Kerajaan Selangor memang diperlukan masyarakat setempat ketika ini terutama mangsa bah yang berdepan banyak kerugian dan kemusnahan.

“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban ibu bapa untuk membeli kelengkapan sekolah anak mereka,” katanya ketika dihubungi.

Wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat turut senada selain memuji keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap keperluan rakyat selepas mengumumkan Bantuan Selangor Bangkit tahun lalu.

“Kali ini ada pula bantuan persekolahan kepada pelajar yang terjejas banjir, semoga inisiatif ini menceriakan pelajar untuk kembali ke sekolah,” katanya.

Semalam, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan baucar menerusi Bantuan Pakaian Sekolah Selangor diagih secara berperingkat mulai minggu ketiga Februari.

Beliau menjelaskan pelajar peringkat rendah, menengah dan sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor boleh menebus baucar itu bagi mendapatkan baju, seluar, kain, stoking dan kasut.

 

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/baucar-persekolahan-ringan-beban-mangsa-banjir-tepat-pada-masanya/