Sejarah

Dewan Negeri Selangor dan sistem pemerintahan yang ada sekarang mempunyai sejarahnya yang panjang. Sebelum merdeka ia dikenali sebagai Majlis Mesyuarat Negeri. Sejarah bermula pada tahun 1877 bila Sultan Abdul Samad membentuk Majlis Mesyuarat Negeri yang ditubuhkan berdasarkan kaedah barat dan mengikut panduan Residen Inggeris pada masa itu iaitu Bloomfield Douglas. Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri yang pertama ialah Tunku Kudin dan ahli-ahlinya iaitu:-

  • Kapten Bloomfield Douglas
  • Raja Kahar, Putera Sultan Abdul Samad (Raja yang menjaga Kajang)
  • Raja Berkat Tengku Panglima Raja (Raja yang menjaga Kanchong)
  • James Innes (Pemungut cukai tanah dan Majistret Langat)
  • Taukeh Yap Ah Loy (Kapitan Cina di Kuala Lumpur)
  • Saiyid Zain (Wakil dan Pengurus Kebun-kebun Tengku Kudin)

Majlis Mesyuarat Negeri bersidang buat pertama kalinya di Klang pada 11 Jun, 1877 dan persidangan kali kedua telah diadakan pada 25 Jun, 1877.

Pada bulan Mac, 1880 pemerintahan Negeri Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur. Pemindahan ini juga menyaksikan kuasa pentadbiran pembesar-pembesar Melayu diambil alih oleh pegawai-pegawai Inggeris khasnya Residen Inggeris di Selangor. Tengku Kudin telah meletakkan jawatan sebagai Yang Di Pertua kerana menyedari bahawa kuasa beliau semakin berkurangan. Jawatannya telah digantikan oleh Raja Muda Musa (Putera Sultan Abdul Samad) manakala Inggeris menguasai sepenuhnya pentadbiran Negeri Selangor.

Selepas kemangkatan Raja Muda Musa pada tahun 1884, Sultan Abdul Samad telah mengambil alih jawatan Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri. Baginda mempengerusikan Persidangan dan berusaha membaiki taraf hidup rakyat.

Pada 1 Julai, 1896 Negeri Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang diletakkan di bawah pentadbiran seorang Residen Jeneral dan dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Negeri masih terus berjalan di keempat – empat negeri tersebut. Perubahan seterusnya berlaku pada tahun 1909 dengan penubuhan Majlis Persekutuan atau Federal Council. Majlis Persekutuan dianggotai oleh keempat-empat Sultan Negeri tersebut, empat Residen Negeri, empat anggota tidak rasmi dan Residen Jeneral. Dalam Majlis ini, Sultan tidak mempunyai apa-apa kuasa melainkan hanya memberi nasihat kepada pegawai pentadbir Inggeris khususnya dalam perkara-perkara tertentu berhubung dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam.

Pada tahun 1927 Sultan Selangor dan Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang lain telah keluar daripada majlis Mesyuarat Persekutuan. Berikutan dengan ini pihak Inggeris telah mengambil langkah-langkah untuk menambahkan lagi kuasa Majlis Mesyuarat Negeri dalam bidang pentadbiran dan menambahkan lagi anggota tempatan.

Selepas Perang Dunia Kedua, pihak Inggeris telah mengemukakan gagasan Malayan Union. Gagasan ini dimansuhkan berikutan bantahan hebat daripada orang-orang Melayu dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948, Majlis Mesyuarat Negeri-negeri telah dibesarkan dengan menambah ahli-ahli tidak rasmi.

Pada bulan Jun, 1948 pemberontakan Komunis telah meletus dan darurat berlanjutan selama 12 tahun. Sementara itu langkah kemerdekaan telah diusahakan setapak demi setapak. Pada tahun 1951 Sistem Ahli (Member System) telah diperkenalkan di Majlis Mesyuarat Persekutuan. Pada tahun 1952 beberapa orang ahli telah dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja dengan memberi peluang bagi anak negeri bersuara. Pada 27 Julai 1955 satu pilihan raya telah diadakan dan beberapa orang ahli telah dipilih menganggotai Majlis Mesyuarat Negeri. Ahli-Ahli Yang berhormat yang dipilih adalah:-

  • Tuan Abdullah bin Haji Hassan – Tuan Yang Di Pertua (Port Swettenham)
  • Tuan Abdul Aziz bin Abdul Majid – Menteri Besar
  • Tuan Ong Yoke Lin (Kuala Lumpur Timur)
  • Tuan Cheah Ewe Keat (Kuala Lumpur Timur)
  • Puan Halimahton binti Abdul Majid (Ulu Selangor)
  • Raja Rastam Shahrome bin Raja Said Tauphy (Kuala Selangor)
  • Tuan Abu Bakar bin Baginda (Langat)
  • Tuan Abdul Aziz bin Ishak (Selangor Barat)
  • Tuan Lee Eng The (Selangor Tengah)

Pilihan raya bagi peringkat Dewan Negeri Selangor telah diadakan pada 20 Mei 1959 buat pertama kali selepas mencapai kemerdekaan. Parti Perikatan telah membentuk kerajaan untuk mentadbir Negeri Selangor di bawah payungan Duli Yang Maha Mulia Sultan. Allahyarham Dato’ Abu Bakar bin Baginda telah dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang pertama selepas merdeka dan beliau telah dibantu oleh tujuh orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Namun demikian, sejarah ada menunjukkan bahawa sebelum merdeka, Negeri Selangor Darul Ehsan pernah diterajui dan ditadbirkan oleh enam orang Menteri Besar bermula dari tahun 1949. Antaranya ialah Allahyarham Dato’ Hamzah bin Abdullah, Allahyarham Raja Tun Uda Alhaj bin Raja Muhammad, Allahyarham Dato’ Othman bin Muhammad, Allahyarham Dato’ Abdul Aziz bin Abdul Majid, Allahyarham Tuan Muhammad Ismail bin Abdul Latif dan Allahyarham Dato’ Abdul Jamil bin Abdul Rais.

Selepas merdeka, Negeri Selangor Darul Ehsan diterajui dan ditadbirkan oleh sembilan orang Menteri Besar iaitu Allahyarham Dato’ Abu Bakar bin Baginda, Allahyarham Dato’ Seri Haji Harun bin Idris, Allahyarham Dato’ Seri Haji Hormat bin Rafei, Allahyarham Tan Sri Dato’ Haji Ahmad Razali bin Haji Mohd Ali, Y.Bhg. Tan Sri Dato Haji Muhammad bin Haji Muhammad Taib, Y.Bhg. Dato’ Seri (Dr.) Haji Abu Hassan bin Haji Omar, Y.Bhg. Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo, Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Abdul Khalid bin Ibrahim dan Y.Bhg. Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali.

Dato’ Menteri Besar Selangor kini, Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari adalah Menteri Besar kesepuluh selepas merdeka dan merupakan Menteri Besar keenam belas bagi Negeri Selangor Darul Ehsan. Beliau dibantu oleh sepuluh orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan serta segala daerah takluknya adalah Raja, Ketua Negeri dan Ketua Agama Islam. Pada bagindalah jua terletak hak kuasa eksekutif negeri. Baginda jua tunggak kedaulatan negeri yang menjadi inspirasi rakyat jelata.