Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

3) PROGRAM I-SEED

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah program i-SEED dapat membantu melancarkan urusan perniagaan pemohon?

    Sepertimana semua sedia maklum, Program Indian Selangor Empowerment and Entrepreneurs Development atau lebih dikenali sebagai i-SEED telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 10 Mac 2021 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.754 juta. Ia merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-Ekonomi yang memberi fokus utama dalam memperdaya dan memperkasakan sektor ekonomi masyarakat India khususnya mereka yang dikategorikan di dalam kumpulan B40 melalui penjanaan atau peningkatan pendapatan.

    Ketika ini, masyarakat India sangat memerlukan pendedahan yang meluas terhadap program-program pemerkasaan bagi menghasilkan individu yang berkemahiran tinggi serta melahirkan usahawan baru agar dapat meningkatkan keupayaan keusahawanan sedia ada untuk menangani bebanan kos sara hidup yang kian meningkat.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri telah merancanakan beberapa dasar, strategi dan hala tuju pembangunan masyarakat India di bawah program i-SEED ini antaranya ialah :

    1. Program pemberian bantuan berbentuk peralatan perniagaan kepada usahawan masyarakat India yang dilaksanakan bersama oleh UPEN, Pejabat Daerah/ Tanah, Unit i-SEED dan Ketua Komuniti India; dan
    2. Program latihan seperti persidangan, seminar dan bengkel jangka pendek dalam bentuk teori dan praktikal kepada usahawan masyarakat India.

    Untuk makluman Yang Berhormat Permatang, program latihan, persidangan, seminar dan bengkel i-SEED ini terpaksa ditangguhkan disebabkan terdapatnya kekangan untuk mengadakan majlis sosial semasa pandemik Covid-19. Wang yang diperutuntukkan bagi melaksanakan program-program tersebut pula telah digunakan di dalam program pemberian bantuan berbentuk peralatan perniagaan kepada usahawan masyarakat India.

    Disebabkan program ini dilaksanakan bersama Pejabat Daerah/ Tanah dan permohonan juga dihantar melalui PDT dan unit i-SEED, Kerajaan Negeri tiada perincian data penerima mengikut ADUN. Berdasarkan rekod, jumlah permohonan yang diluluskan untuk menerima mesin/ peralatan bagi pada tahun 2021 adalah seramai 254 orang yang melibatkan peruntukan yang telah disalurkan ke Pejabat Daerah/ Tanah adalah sebanyak RM1,146,070.00 (Satu Juta, Satu Ratus Empat Puluh Enam Ribu, Tujuh Puluh Ringgit). Bagi daerah Kuala Selangor, seramai 31 orang telah berjaya menerima bantuan mesin/ peralatan dengan peruntukan sebanyak RM137,650.00.

    Kesimpulannya, program ini diyakini dapat terus berdiri menjadi paksi dalam pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor khususnya kepada masyarakat India melalui pelbagai program dan inisiatif baru yang bakal dilaksanakan dan Jawatankuasa ini akan menggunakan peruntukan yang ada semaksimum mungkin dalam membantu rakyat yang memerlukan terutamnya di dalam situasi pandemik yang sukar ini.

  2. Berapakah jumlah peruntukan i-SEED di seluruh DUN sehingga setakat kini

    Jawapan adalah sama seperti di atas

Lampiran

Tiada Lampiran.