Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

142) PENYURAIAN TRAFIK

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pelan jangka masa panjang dan pendek Kerajaan Negeri untuk penyuraian trafik di Selangor?

    1. Seperti mana Ahli-ahli YB sedia maklum, selain daripada Kuala Lumpur, Selangor merupakan salah satu Negeri yang mempunyai aliran trafik yang begitu padat. Kedudukan Negeri Selangor sebagai Negeri yang mempunyai kadar pertumbuhan perindustrian yang tinggi di samping dengan jumlah kependudukan yang begitu tinggi merupakan faktor-faktor yang menyumbang kepada kesesakan trafik terutamanya ketika waktu puncak.
    2. Kerajaan Negeri Selangor telah melihat perkara tersebut dengan lebih awal dan telah mengambil langkah dengan merangka sistem pengangkutan awam yang teratur dan menyeluruh di Negeri Selangor dengan penetapan sasaran untuk mencapai nisbah 60 : 40 penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian menjelang tahun 2035.
    3. Untuk mencapai matlamat itu, Kerajaan Negeri Selangor telah bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan infrastruktur-infrastruktur pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), Komuter, Bus Rapid Transit (BRT), High Speed Rail (HSR) dan projekprojek lebuh raya. Namun begitu, Kerajaan Negeri telah menghadkan kelulusan bagi pembinaan lebuh raya di Negeri Selangor bertujuan untuk memfokuskan kepada sistem pengangkutan rel yang lebih efisyen dalam mengurangkan jumlah kenderaan berbanding pembinaan lebuh raya yang hanya mampu bertahan untuk tempoh beberapa tahun sebelum mengundang lebih banyak aliran trafik dan membebankan rakyat dengan kadar tol yang dikenakan. Apa yang berlaku dalam situasi semasa di lebuh raya adalah, anda bayar tol namun anda terperangkap dalam kesesakan trafik di tengah-tengah lebuh raya. Perkara ini yang telah dilihat dan diteliti oleh Kerajaan Negeri sebelum memutuskan untuk menghadkan pembinaan lebuh raya di Selangor.
    4. Justeru itu, perancangan menyeluruh pembangunan infrastruktur yang digariskan oleh Kerajaan Negeri melalui penyediaan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) adalah bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Negeri Selangor. Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) merupakan dokumen yang komprehensif dan lengkap untuk dijadikan panduan dan hujahan ke atas pendirian Kerajaan Negeri Selangor, yang telah disediakan dengan mengambil kira pelan-pelan induk pengangkutan yang dikeluarkan oleh agensi persekutuan seperti Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat (RIPAD) oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat untuk memberi lakaran dan alternatif baru jajaran dan jalinan pengangkutan awam supaya Kerajaan Negeri dapat membantu merangka sistem pengangkutan awam yang menepati keadaan semasa dan kehendak rakyat Negeri Selangor. Sebanyak 12 penumpuan kepada cadangan pembinaan sistem pengangkutan berasaskan landasan kekal (fix track) telah diperkenalkan dalam PIPANS.
    5. Selain itu juga, usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam aspek penyuraian trafik di Negeri Selangor adalah dengan memastikan sistem pengangkutan awam dilengkapi dengan penyediaan pengangkutan alternatif seperti kemudahan perkhidmatan bas dan laluan basikal. Penyediaan pengangkutan awam secara percuma melalui perkhidmatan Bas Smart Selangor yang bermula di kawasan bandar yang kemudiannya telah diperluaskan ke kawasan luar bandar bukan sahaja menawarkan laluan perjalanan kepada pengguna, sebaliknya merupakan satu sistem menyeluruh yang menawarkan rangkaian kepada sistem pengangkutan darat di Negeri Selangor. Perkhidmatan Bas Smart Selangor telah beroperasi berkonsepkan first mile last mile dengan menguhubungkan laluan perkhidmatan kepada stesen-stesen komuter, LRT, KLIA Transit dan sebagainya di Negeri Selangor. Perkhidmatan yang telah dilaksanakan bermula 1 Julai 2015 terus diyakini memberikan impak positif kepada rakyat Selangor berkaitan sistem perkhidmatan awam yang lebih dominan dan selesa. Pelaksanaannya telah membuahkan hasil dengan lebih 8 juta penumpang menggunakan perkhidmatan tersebut di seluruh negeri sehingga bulan Jun 2017 sejak ianya dilancarkan.
    6. Penyediaan laluan basikal di seluruh kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berdasarkan konsep first mile last mile juga telah pun dilaksanakan pada tahun ini. Jawatankuasa Tetap Pengangkutan Negeri Selangor telah menetapkan sasaran 1,000 kilometer laluan basikal bagi tempoh lima (5) tahun dengan mensyaratkan supaya PBT dapat menyediakan laluan basikal sekurangkurangnya 15 kilometer bagi Majlis Bandaraya dan Perbandaran manakala 10 kilometer bagi Majlis Daerah dengan menggunakan peruntukan PBT sendiri.Penyediaan laluan basikal penghubung ini juga merupakan salah satu tumpuan Kerajaan Negeri untuk memupuk budaya berbasikal dan penggunaan pengangkutan awam yang seterusnya akan membantu mengurangkan jumlah trafik di jalan raya.
  2. Nyatakan statistik jumlah pengguna jalan raya pada waktu puncak dan hujung minggu di Selangor?

    Untuk makluman Yang Berhormat, tanggungjawab untuk menyediakan statistik jumlah pengguna jalan raya adalah terletak di bawah Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan. Oleh itu, Yang Berhormat boleh merujuk kepada jabatan tersebut bagi mendapatkan statistik berkenaan untuk rujukan selanjutnya.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.