Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
96) PENGURUSAN SISA PEPEJAL OLEH KDEB
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila nyatakan keberkesanan pengurusan sisa pepejal KDEB serta cabarancabaran yang masih kini dihadapi oleh KDEB.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang ke-7 bagi tahun 2016 yang diadakan pada 24 Februari 2016 telah melantik KDEB Waste Management Sdn. Bhd. (KDEBWM), anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai Project Management Company (PMC) bagi menguruskan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam secara holistik. Daerah Klang di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah dipilih sebagai projek perintis dan KDEBWM telah memulakan operasinya di Klang bermula pada 1 Julai 2016 yang lalu. Melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 1 Mac 2018, Kerajaan Negeri telah mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menyerahkan pengurusan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam yang sebelum ini diuruskan oleh PBT kepada KDEBWM. Sehingga bulan Ogos 2018, selain dari MPK, KDEBWM juga telah mengambil alih hampir keseluruhan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh negeri Selangor termasuk di Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). KDEBWM dijangka akan melengkapkan pengambilalihan di kesemua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain di seluruh negeri Selangor secara berperingkat pada tahun ini dan tahun hadapan.
Pelbagai pembaharuan telah dilaksanakan oleh KDEBWM bagi memastikan keberkesanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di negeri Selangor. Antaranya ialah penggunaan lori-lori kompaktor dan RORO baru buatan jenama terkemuka Jepun yang dilengkapi dengan pelbagai gajet dan sistem pemantauan terkini seperti Auto Vehicle Locating System (AVLS), CCTV, kamera undur dan sebagainya. Operasi harian lori-lori kompaktor dan RORO baru ini dipantau secara ‘real time’ dari Centralised Command Center (CCC) KDEBWM.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan dan keberkesanan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam oleh KDEBWM sudah pasti hasil daripada inisiatif di bawah program Smart Waste Management di mana semua lori RORO baru KDEB Waste dilengkapi dengan sistem GPS tracker bagi memantau pergerakan lori secara ‘real time’ dan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan kejadian lori-lori yang tidak masuk ke kawasan, culas dalam menjalankan tugas dan sebagainya.
Penggunaan gajet-gajet dan sistem-sistem yang canggih dan terkini oleh KDEBWM di dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri bagi menjadikan Selangor sebuah negeri pintar di bawah inisiatif Smart Selangor. Pembaharuan yang telah diperkenalkan oleh KDEBWM dengan penggunaan pelbagai gajet dan sistem yang canggih dan terkini ini telah mendapat pengiktirafan apabila KDEBWM telah dianugerahkan sebagai Smart Waste Solution Company of The Year 2018 oleh Frost and Sullivan.
Keberkesanan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di bawah KDEBWM kini dapat dibuktikan apabila statistik aduan yang melibatkan sisa pepejal domestik dan pembersihan awam di semua PBT yang telah diambil alih oleh KDEBWM telah menunjukan trend penurunan yang amat signifikan melebihi 50% bermula pada bulan kedua pengambilalihan. Adalah menjadi satu trend biasa di mana aduan agak tinggi pada bulan pertama pengambilalihan atas faktor seperti sub-kontraktor lantikan baru KDEBWM yang masih di dalam proses untuk mengenali selok-belok kawasan perkhidmatan mereka di samping masalahmasalah tipikal seperti kerosakan lori dan sebagainya. Walaubagaimanapun, semua permasalahan semasa transition period ini kebiasaannya dapat diatasi bermula pada bulan kedua KDEBWM beroperasi di PBT tersebut apabila subkontraktor telah mula mahir dengan kawasan perkhidmatan mereka di samping penyerahan lori-lori baru KDEBWM kepada semua sub-kontraktor yang sekaligus dapat mengatasi masalah kerosakan lori yang sering dihadapi oleh sub-kontraktor yang menggunakan lori lama mereka sendiri pada peringkat permulaan operasi.
Jumlah aduan juga adakalanya meningkat pada musim perayaan berikutan pertambahan jumlah penghasilan sampah sempena persediaan bagi menyambut sesuatu perayaan. Penghasilan sampah juga kebiasaannya tinggi dan adakalanya sukar dibendung di kawasan-kawasan yang dibanjiri oleh pendatang asing. Ini adalah senario biasa di dalam industri sisa pepejal dan pembersihan awam dan kesemua aduan ini telah diselesaikan dengan jangka masa yang singkat oleh KDEBWM.
Tinjauan secara rambang di kalangan penduduk di semua PBT yang telah menggunakan perkhidmatan KDEBWM juga mendapati bahawa mereka amat berpuas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh KDEBWM dan yang paling penting setiap aduan yang dikemukakan telah diberikan maklum balas segera oleh pasukan operasi KDEBWM dan diselesaikan dengan pantas dan sistematik.
Berhubung dengan cabaran yang masih dihadapi oleh KDEBWM, industri pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini adalah satu industri yang melibatkan 3M iaitu Man, Machine dan Method dan adakalanya berlaku permasalahan di luar kawalan seperti masalah tenaga kerja, kerosakan lori dan strategi operasi yang kurang berkesan. Cabaran lain di dalam menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam ini adalah faktor 2M lagi iaitu mentality dan migrant. Sikap penduduk yang tidak menghiraukan aspek kebersihan apabila dengan sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata di samping kebanjiran pendatang asing di negeri Selangor juga turut menjadi cabaran utama bukan sahaja kepada KDEBWM tetapi juga Kerajaan Negeri sendiri. Tiada istilah smooth sailing di dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam ini atas faktor 3+2M yang dinyatakan di atas. Walaubagaimanapun, Kerajaan Negeri mempunyai keyakinan penuh di atas kemampuan dan kredibiliti KDEBWM bagi menguruskan semua cabaran-cabaran ini dan seterusnya mampu untuk merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang bersih dan sihat.
-
Kami menerima maklumbalas mengatakan sistem aduan (termasuk iClean Selangor, nombor talian, WhatsApp dan E-mail) tidak begitu berkesan. Apakah tindakan-tindakan yang sedang diambil oleh KDEB dalam memperbaiki sistem aduan terkini?
Untuk makluman, KDEB Waste Management Sdn. Bhd. melalui Pusat Aduan Setempat atau “Centralized Command Centre” (CCC) menerima pelbagai jenis aduan sampah melalui tujuh (7) saluran aduan iaitu:
- Nombor talian Bebas Tol Aduan Selangor
- Nombor talian terus KDEBWM
- Whatsapp (KDEBWM)
- Email (KDEBWM)
- Aplikasi iClean Selangor
- Sistem SISPAA (“Sistem Pengurusan Aduan Awam Selangor”)
- Fax (KDEBWM)
Kesemua aduan dari ketujuh-tujuh makanisme di atas telah direkod dan dipantau dengan baik oleh Pegawai-pegawai CCC. Semua aduan yang diterima bagi tempoh Januari hingga Julai 2018 telahpun diselesaikan segera selaras dengan standard operasi KDEBWM yang sentiasa bersikap pro-aktif dan responsif dimana KDEBWM mensasarkan supaya semua aduan yang diterima diselesaikan dalam tempoh 24 jam. Penurunan jumlah aduan yang direkodkan oleh KDEBWM adalah indikator utama dalam menilai kejayaan pengurusan perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam .
Seperti dijelaskan sebelum ini adalah menjadi satu trend biasa di mana aduan agak tinggi pada bulan pertama pengambilalihan atas faktor seperti sub-kontraktor lantikan baru KDEBWM yang masih di dalam proses untuk mengenali selok-belok kawasan perkhidmatan mereka di samping masalah-masalah tipikal seperti kerosakan lori dan sebagainya. Jumlah aduan juga adakalanya meningkat pada musim perayaan berikutan pertambahan jumlah penghasilan sampah sempena persediaan bagi menyambut sesuatu perayaan. Penghasilan sampah juga kebiasaannya tinggi dan adakalanya sukar dibendung di kawasan-kawasan yang dibanjiri oleh pendatang asing. Ini adalah senario biasa di dalam industri sisa pepejal dan pembersihan awam dan kesemua aduan ini telah diselesaikan dengan jangka masa yang singkat oleh KDEBWM. Semua aduan yang diterima di Pusat Aduan Setempat KDEBWM diurus dengan baik pada setiap hari bermula pada Isnin sehingga Jumaat termasuk Cuti Umum dari jam 9.00 pagi sehingga 5.00 petang.
Pihak KDEBWM dengan kerjasama Ahli Majlis dan semua pihak PBT yang terlibat sentiasa komited membuat hebahan makanisme aduan termasuk hebahan di media sosial, paparan di lori dan pada papan tanda kawasan bagi memastikan para penduduk di semua kawasan yang telah diambilalih peka dan maklum tentang saluran aduan yang telah diwujudkan oleh KDEBWM dan Kerajaan Negeri Selangor.
-
Apakah strategi KDEB dalam pengutipan sampah di kawasan kampung yang mempunyai jalan sempit? Adakah KDEB akan menggunakan pengangkutan yang lebih kecil (e.g. motosikal tiga roda)?
KDEBWM mempunyai pengalaman menguruskan kutipan sampah di beberapa kawasan kampung di Klang, Selayang, Ampang Jaya dan Kajang. Antara cabaran utama yang dihadapi dalam menguruskan kutipan sampah di kawasan kampung adalah laluan yang sempit dan tidak boleh dilalui oleh lori kompaktor.
Bagi mengatasi masalah ini, strategi ,perancangan operasi yang tepat dan penggunaan jentera yang bersesuaian adalah penting bagi memastikan keberkesanan operasi kutipan. Pada kebiasaannya, pihak sub- kontraktor akan menggunakan lori armroll untuk mengutip sampah di lorong-lorong yang tidak dapat dilalui oleh lori kompaktor.
KDEBWM juga merancang untuk menggunakan lori kompaktor mini sebagai alternatif kepada penggunaan lori armroll di laluan sempit dan sukar dilalui oleh lori kompaktor.
Sekiranya terdapat laluan yang tidak boleh dilalui oleh lori kompaktor, lori kompaktor mini atau armroll, KDEBWM akan menggunakan motorsikal roda tiga untuk mengutip sampah-sampah dilaluan sempit ini.
Sehingga kini terdapat dua zon perkhidmatan di Klang yang menggunakan motorsikal roda tiga bagi melaksanakan operasi kutipan sampah iaitu di Kampung Delek dan Kampung Sungai Udang manakala di Ampang Jaya pula di kawasan Taman Tasik Tambahan dan Kampung Tasek Permai.
Penggunaan motorsikal roda tiga ini adalah tertakluk kepada keperluan dan keadaan laluan di kawasan perkhidmatan. Sekiranya terdapat keperluan, KDEBWM akan menggunakannya bagi memastikan kutipan sampah di kawasan yang terlibat berada dalam keadaan baik mengikut jadual yang telah ditetapkan.