Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

11 Julai 2011 hingga 13 Julai 2011

75) PENASIHAT EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2011

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohamad Satim Bin Diman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Dato Seri Anwar Ibrahim telah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor sejak tahun 2009. Apakah sumbangan terbesar Penasihat Ekonomi negeri dalam memacu ekonomi negeri?

    Sumbangan terbesar Penasihat Ekonomi Negeri dalam membantu hala tuju pentadbiran negeri setakat ini adalah cadangan beliau mengenai reformasi pengurusan tanah di Selangor. Pandangan dan ketetapan beliau bahawa perlunya ada satu pendekatan baru yang lebih adil dan membantu rakyat terbanyak dalam hal ehwal tanah di Selangor mendorong kepada keputusan Kerajaan Negeri memperkenalkan sistem baru penyambungan status hak milik tanah sementara yang tidak membebankan rakyat.

    Melalui kaedah baru ini, rakyat hanya perlu membayar yuran pemprosesan sebanyak RM1,000 sahaja untuk terus tinggal dan mendapat hakmilik tanah, berbeza dengan cara lama di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang menyebabkan rakyat terpaksa membayar berpuluh ribu ringgit.

    Reformasi pentadbiran tanah ini dijangka akan membawa kesan yang besar kepada ekonomi negeri, termasuk mengurangkan jurang harga tanah di antara status hak milik sementara dan hak milik kekal. Secara tidak langsung, ia diharapkan akan menaikkan harga hartanah yang dimiliki oleh rakyat, sementara memastikan hak milik tanah kekal dengan rakyat.

    Selangor adalah negeri pertama yang berani melaksanakan reformasi pentadbiran tanah sebesar ini.

  2. Apakah perbezaan ketara pada ekonomi negeri selepas pelantikan beliau?

    Penasihat Ekonomi faham bahawa fungsi dan tugas beliau adalah atas kapasiti menasihati; memandangkan pengalaman beliau yang cukup lama dalam kerajaan.

    Tugas mentadbir kerajaan negeri dan melaksanakan dasar adalah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ruang ini diberikan sepenuhnya kepada pimpinan Kerajaan Negeri untuk membuat keputusan.

    Penasihat Ekonomi menumpukan perhatian kepada beberapa dasar makro yang penting supaya ada perubahan ketara yang dirasai oleh rakyat di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat.

    Tumpuan-tumpuan yang diberikan termasuklah rundingan dan nasihat mengenai kaedah mempelbagaikan lagi program-program ekonomi yang membantu rakyat seperti Skim Mikrokredit, Skim Rumah Mampu Milik, reformasi tanah dan lain-lain.

    Jawapan kepada soalan tersebut terletak di tangan rakyat. Kerajaan Negeri yakin bahawa dengan pelaksanaan dasar-dasar ini yang banyak dipengaruhi oleh beberapa siri keutamaan yang ditetapkan oleh Penasihat Ekonomi Negeri, rakyat dapat membezakan bahawa telah ada perbezaan ketara sejak beliau dilantik.

  3. Adakah kerajaan negeri bercadang untuk menggantung khidmat beliau kerana terbabit dengan kes pendakwaan di mahkamah?

    Tidak.

Lampiran

Tiada Lampiran.