Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

40) PELAN ADAPTASI DAN MITIGASI TERHADAP PERUBAHAN IKLIM

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor sudah mempunyai perancangan lengkap untuk membangunkan pelan adaptasi dan mitigasi terhadap isu perubahan iklim yang semakin relavan ketika ini? Sekiranya ada, sila senaraikan pelan-pelan utama yang bakal diinisiatifkan dalam tempoh beberapa tahun ini secara terperinci.

    Selangor kini berdepan impak perubahan iklim yang agak membimbangkan sejak kebelakangan ini menerusi beberapa kejadian banjir kilat, ribut dan tanah runtuh yang menjejaskan aktiviti pembangunan dan sosio-ekonomi rakyat. Susulan daripada tragedi banjir besar yang melanda negeri pada Disember 2021, kepentingan untuk mengintegrasi tindakan jangka pendek (iaitu usaha pengurusan risiko bencana iklim) dengan usaha jangka sederhana dan panjang (adaptasi perubahan iklim) bagi meningkatkan daya tahan masyarakat setempat juga perlu diberi keutamaan.

    Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan untuk Kerajaan Negeri Selangor menyediakan satu pendekatan berperingkat yang akan mengintegrasikan tindakan jangka pendek (pengurusan risiko bencana iklim) dengan usaha jangka sederhana dan panjang (adaptasi perubahan iklim) bagi meningkatkan daya tahan masyarakat setempat.

    Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 26/2022 bertarikh 12 Oktober 2022 dan disahkan oleh MMKN Ke 27/2022 pada 19 Oktober 2022 telah bersetuju dan meluluskan cadangan pembangunan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor 2030 sebagai rangka kerja bagi menggerakkan dan memberi panduan kepada Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan dan Agensi Negeri, industri, masyarakat setempat serta pihak berkepentingan lain dalam mencapai pembangunan yang berdaya tahan iklim. Pendekatan berperingkat akan dilaksanakan bagi menyelaras usaha adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana merentasi pelbagai tempoh memandangkan bahawa hampir kesemua insiden bencana yang berlaku pada tahap negeri, bandar, daerah dan mukim adalah berkaitan dengan pengaruh iklim.

    Pada peringkat awal, skop pembangunan dasar ini telah dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor atau IKLIMSELANGOR yang dianggotai oleh pakar-pakar berpengalaman dalam bidang pembangunan dasar, iklim, perancangan bandar dan perbandaran. Matlamat pembangunan dasar ini adalah:

    1. membantu mengenal pasti tindakan secara bersepadu yang perlu diambil bagi mencapai matlamat pembangunan lestari;
    2. satu bentuk perancangan secara menyeluruh dalam proses pembangunan negeri merangkumi sektor utama iaitu keselamatan air dan sumber air, pertanian dan keselamatan makanan, kesihatan awam, Infrastruktur, tenaga dan persekitaran terbina (termasuk bandaraya), pengurusan sisa, pengangkutan, perhutanan dan biodiversiti; dan perindustrian; dan
    3. menitikberatkan pengukuhan keupayaan negeri agar impak perubahan iklim dapat dikurangkan di samping memberi keutamaan untuk menyesuaikan negeri terhadap impak perubahan iklim sebenar.

    Skop dasar yang akan diberi tumpuan adalah:

    1. Merangka perancangan dan pembangunan negeri dengan mengambil kira pelbagai langkah adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana iklim berasaskan teras strategik, sektor ekonomi dan bidang fokus; strategi utama; projek, program dan inisiatif; penunjuk makro; dan penggerak utama dalam RS-1 dan pelbagai dasar dan pelan tindakan yang berkaitan;
    2. Menjalankan tiga (3) kajian perintis iaitu di Kuala Selangor, Shah Alam dan Ampang Jaya. Pelan Tindakan Berdaya Tahan Iklim Tempatan akan disediakan untuk tiga PBT iaitu Kuala Selangor (pesisir pantai), Shah Alam (dataran alluvium sungai) dan Ampang Jaya (tanah tinggi). Pelan tersebut berbentuk dokumen hidup yang akan dikemaskini secara berkala;
    3. Menilai semula pembangunan sedia ada dan mengenalpasti kawasan kerentanan akibat daripada bahaya iklim untuk perancangan pembangunan masa hadapan berdaya tahan berasaskan kajian perintis;
    4. Memupuk gaya hidup hijau dalam kalangan semua lapisan masyarakat ke arah pembangunan lestari melalui pelbagai program peningkatan kesedaran;
    5. Menyarankan persekitaran yang menyokong pembangunan berdaya tahan iklim dengan meningkatkan tadbir urus untuk memperkukuhkan perancangan, penguatkuasaan, pemantauan dan penilaian.

    Kerajaan Negeri menjangkakan, dengan pembangunan Dasar dan Pelan Perubahan Iklim 2030 akan menghasilkan komitmen dan polisi Kerajaan Negeri dalam menangani perubahan iklim, Pelan Tindakan Berdaya Tahan Iklim Tempatan, Senario Impak Perubahan iklim melalui kajian perintis, Pakej Maklumat untuk Program Peningkatan Kesedaran Masyarakat dan Kerangka Tadbir Urus Pembangunan Berdaya Tahan Iklim, termasuk strategi untuk pendanaan antarabangsa.

Lampiran

Tiada Lampiran.