Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

09 November hingga 13 November 2009 dan 16 November hingga 17 November 2009

131) KEPADATAN PENDUDUK BANDAR

Tahun: 2009

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan berapakah peratus kepadatan penduduk di bandar pada ketika ini jika dibandingkan dengan 20 tahun yang lalu?

    Berdasarkan statistik yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan Unit
    Perancang Ekonomi Negeri Selangor, kepadatan penduduk negeri Selangor di kawasan
    bandar pada tahun 2009 adalah 88.5% daripada 7956 kilometer persegi keluasan
    negeri. Jumlah ini adalah berdasarkan anggaran jumlah penduduk negeri Selangor pada
    tahun ini sebanyak 5.179 juta orang dibandingkan dengan jumlah penduduk negeri pada
    tahun 1980-an seramai 1.426 juta.

  2. Sila nyatakan berapa peratuskah unjuran kepadatan penduduk di bandar pada 10 tahun akan datang mengikut pecahan kaum?

    Jumlah penduduk Negeri Selangor pada tahun 2019 adalah dianggarkan seramai 6.210
    juta orang. Jumlah ini mengambil kira kadar purata pertumbuhan tahunan penduduk
    sebanyak 2.1% setahun. Pecahan kaum secara kasarnya masih mengekalkan
    komposisi yang sama di mana kaum majoriti adalah terdiri daripada kaum Bumiputera,
    diikuti dengan kaum Cina, kaum India dan lain-lain.

  3. Sila nyatakan apakah faktor utama yang menyebabkan rakyat Negeri Selangor khususnya yang tinggal di luar bandar gemar berhijrah ke bandar?

    Secara keseluruhannya, trend taburan penduduk yang masih tinggal di kawasan luar
    bandar negeri Selangor adalah menurun dari tahun ke tahun. Statistik daripada Jabatan
    Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa tahun 1994 mencatat 24.8% penduduk
    yang tinggal di luar bandar berbanding 11.7% pada tahun 2008. Migrasi luar bandar ke
    bandar ini adalah dipengaruhi oleh faktor tolakan dan tarikan wilayah metropolitan
    Lembah Klang. Kos sara hidup yang semakin tinggi serta kurangnya pendapatan serta
    hasil di kawasan luar bandar menyebabkan ramai golongan belia dan lepasan sekolah
    datang ke kawasan metropolitan untuk mencari kerja. Kawasan metropolitan seperti
    negeri Selangor bukan sahaja menawarkan banyak peluang pekerjaan dan infrastruktur
    perniagaan yang luas, malah negeri Selangor juga menempatkan institusi-institusi
    pengajian tinggi yang bertaraf dunia meliputi IPTA, IPTS, kolej komuniti, politeknik,
    institut latihan perindustrian dan kolej-kolej matrikulasi.
    Oleh yang demikian, kerajaan negeri sentiasa merangka usaha-usaha bagi
    meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar yang secara tidak langsung dapat
    mengelakkan penduduk luar bandar membanjiri dan berhijrah ke bandar seperti berikut:
    1) Menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana dengan memberi bantuan Dana
    Usahawan, bantuan teknikal dan khidmat nasihat serta latihan usahawan;
    2) Memperkasakan sektor pertanian dengan menggalakkan pertanian moden, berskala
    besar dan berorientasikan eksport dengan menggalakkan program penyatuan tanah
    sawah dan pengurusan berpusat, ternakan cacing dan buah-buahan khususnya di
    Selangor Fruits Valley yang terbesar;
    3) Membantu para nelayan dengan menggalakkan ternakan akuakultur, ikan hiasan,
    ternakan udang harimau, program kebun ikan, ternakan kupang dan kebun kerang;
    4) Menggalakkan dan memberi tumpuan kepada para penternak supaya menceburi
    ternakan Lembu fidlot, kambing dan ayam secara komersial;
    5) Program Contract Farming produk pertanian seperti pisang, udang dan buah-buahan
    membantu para petani, penternak dan nelayan apabila hasil yang dikeluarkan dibeli
    terus oleh FAMA dengan harga yang tinggi;
    6) Menggalakkan sektor pelancongan luar bandar seperti Homestay dengan
    menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik untuk pelancong luar dan dalam negeri;
    dan
    7) Meneruskan Program Kerajaan Prihatin bagi meningkatkan taraf hidup luar bandar
    kepada rakyat miskin dengan memberi bantuan rumah sebanyak RM20 ribu ringgit
    dan kos baik pulih RM7 ribu ringgit.

Lampiran

Tiada Lampiran.