Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

60) KEMISKINAN BANDAR

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah tafsiran kemiskinan bandar menurut perspektif Kerajaan Negeri Selangor?

    Kemiskinan bandar dicorakkan oleh pelbagai kekurangan yang ketara dari pelbagai aspek/dimensi. Secara umumnya, kemiskinan bandar boleh didefinisikan sebagai individu atau sesebuah isi rumah yang miskin dari segi kewangan serta pelbagai faktor lain merangkumi aspek kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

    Dari aspek kewangan, individu atau sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai miskin bandar berdasarkan kepada ketidakcukupan atau ketidakstabilan pendapatan isi rumah, iaitu sama ada individu atau sesebuah isi rumah tersebut berpendapatan bulanan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ATAU berpendapatan bulanan melebihi PGK, tetapi tidak berkemampuan untuk menampung kos perbelanjaan bagi keperluan asas.

     

    Selain itu, dari aspek/faktor kesihatan pula, ia dilihat melalui petunjuk seperti jarak ke hospital/klinik awam, penyediaan kemudahan kesihatan, kemudahan pusat kesihatan bergerak serta tahap kesihatan seisi rumah (OKU dan dijangkiti penyakit disebabkan serangga). Manakala dari aspek pendidikan pula, indikator seperti tahap pendidikan dan tempoh persekolahan dikenalpasti. Bagi aspek taraf kehidupan pula, kemiskinan turut dilihat di dalam skop yang lebih luas meliputi keadaan fizikal rumah, keadaan fizikal persekitaran, kemudahan pengangkutan, aspek terhadap pengangkutan awam, keperluan seperti peralatan memasak, peti sejuk dan televisyen, kemudahan telefon/internet serta kebarangkalian kepada persekitaran tidak selamat (dadah, pecah rumah dan gangsterisme). Dengan itu, SIAPA yang miskin dan MENGAPA berlakunya kemiskinan tersebut serta tahap keparahan kemiskinan isi rumah berkaitan dapat dikenalpasti secara jelas.

    Ini dapat merumuskan bahawa kemiskinan bandar adalah bersifat multi-dimensi yang mana faktor penyebab kemiskinan boleh dilihat dari segi kewangan, kesihatan, pendidikan dan taraf kehidupan.

  2. Mohon menyatakan bilangan penduduk atau keluarga dan lokasinya yang dikategorikan sebagai miskin bandar yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Neger

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri Selangor tidak mempunyai sebarang data atau statistik yang melibatkan bilangan penduduk atau keluarga dan lokasinya yang dikategorikan sebagai miskin bandar memandangkan hasil Kajian Kadar Kemiskinan Mengikut Daerah dan Kaum serta Penetapan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi Negeri Selangor perlu diteliti semula, dipertimbangkan dan dikaji semula secara mikro dari pelbagai aspek termasuk kewangan, ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan hasil kajian yang diperolehi adalah benar-benar menyeluruh , komprehensif, realistik dan bersesuaian untuk digunapakai di Negeri Selangor.

    Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Negeri Selangor mencatatkan insiden kemiskinan sebanyak 02.% di mana insiden kemiskinan bandar adalah sebanyak 0.2% dan insiden kemiskinan luar bandar adalah sebanyak 0.6%.

    Jadual Insiden Kemiskinan Mengikut Negeri dan Strata, Malaysia bagi tahun 2014 daripada Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas Tahun 2014 yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia adalah seperti jadual berikut:-

  3. Apakah program yang telah atau dirancang oleh Kerajaan Negeri untuk mengatasi masalah kemiskinan bandar tersebut?

    Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan yang memfokuskan kepada program-program ke arah mentransformasikan masyarakat miskin tegar dan miskin kepada masyarakat yang berupaya menjana pendapatan yang mencukupi bagi menanggung kos hidup serta seterusnya berupaya membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan. Namun begitu, program-program pembasmian kemiskinan ini adalah bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin di Negeri Selangor serta tidak memfokuskan golongan miskin bandar sahaja.

    Inisiatif dan usaha keras Kerajaan Negeri ini dapat dilihat melalui pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh pelbagai Jawatankuasa Tetap (STANDCO) dan Jabatan/Agensi untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan miskin di samping mengurangkan bebanan kos sara hidup dari pelbagai aspek. Antara langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi adalah seperti berikut:-

    • Program Bantuan Perumahan

    Program Bantuan Perumahan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam memenuhi keperluan rakyat untuk memiliki rumah pada harga yang mampu dimiliki dan selesa untuk diduduki adalah Rumah Selangorku. Manakala bantuan skim pembiayaan perumahan adalah melalui Skim DanaSel dan Skim Selangor Smart Home Buyers. Slain itu, Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin pula disasarkan khusus kepada golongan miskin yang menetap di rumah yang serba daif di mana rumah akan dibina dan diberikan secara percuma kepada yang layak.

    • Program Bantuan Pengupayaan Ekonomi

    Program-program Bantuan Pengupayaan Ekonomi pula adalah seperti Program HIJRAH, Program Bantuan Makanan Asas (Food Stamp), Program Bantuan Nelayan/Akuakultur, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan, Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan, Program Back to School untuk Rakyat Miskin serta pelbagai lagi program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti Program Air Bersih Percuma sebanyak 20 meter padu sebulan, Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Hadiah Anak Masuk Universiti, Insentif Perkahwinan Belia dan lain-lain. Melalui program-program tersebut, ia dijangka berupaya melonjakkan dan meningkatkan pendapatan golongan miskin yang akhirnya dapat mengeluarkan mereka daripada kitaran kemiskinan. Ini secara tidak langsung akan menghasilkan impak positif terhadap taraf dan kesejahteraan hidup rakyat secara berterusan.

    • Program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan

    Program-program Bantuan Peningkatan Tahap Kesihatan seperti Skim Pemeriksaan Mammogram dan Program Bantuan Kesihatan Sihat Selangor (merangkumi bantuan seperti Dialisis, Katarak Mata, Pembedahan Kecil, Lain-lain rawatan dan Kaki Palsu) pula dilihat sebagai inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengurangkan bebanan kos hidup rakyat melalui bantuan kesihatan ke arah melahirkan rakyat yang sihat dan cergas.

    • Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan

    Terdapat pelbagai Program Bantuan Pengupayaan Pendidikan yang bukan sahaja berupaya memperkukuhkan daya saing graduan, malahan dapat mempertingkatkan kebolehpasaran mereka. Antaranya adalah seperti Boot Camp dan Program Graduate Employability Enhancement. Manakala program-program yang dapat membantu meringankan bebanan rakyat melalui penajaan/pembiayaan pendidikan pula adalah seperti Biasiswa dan Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor, Biasiswa Selangor (untuk pelajar KUIS & UNISEL), Program Bantuan Sara Diri Pelajar (untuk pelajar KUIS, UNISEL dan INPENS), Program Kemahiran Teknikal (untuk pelajar INPENS), Program Tuisyen Rakyat, Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah untuk Anak Pekerja Ladang, Program Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) untuk Anak Pekerja Ladang dan Program Kecemerlangan UPSR untuk Anak Pekerja Ladang.

    Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor amat prihatin dan komited dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam pelbagai aspek dengan memberi manfaat kepada semua rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tanpa mengira gender dan etnik di samping memastikan rakyat terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan.

Lampiran

Tiada Lampiran.