Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016
112) KEDAULATAN INSTITUSI RAJA-RAJA
Tahun: 2016
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Kamarol Zaki Bin Abdul Malik
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sejauh manakah Kerajaan Negeri memastikan kedaulatan institusi raja-raja terpelihara daripada sebarang bentuk penghinaan?
Institusi Diraja di Malaysia dan khususnya di Negeri Selangor merupakan suatu simbol perpaduan rakyat berbilang kaum di bawah naungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Sultan dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Selangor yang bertuah ini. Segala kuasa Baginda Tuanku Sultan telah dimaktubkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan ia menjadi kewajipan bukan sahaja ke atas Kerajaan Negeri, malah seluruh rakyat Negeri Selangor untuk memelihara dan menghormati kedaulatan Baginda Tuanku Sultan dan Institusi Diraja Selangor secara holistik.
“Raja dan Rakyat berpisah tiada
Ibarat isi dengan kuku
Bagaikan aur dengan tebing
Bak badan dengan nyawa
Begitulah hubungan Raja dan Rakyat selamanya”
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri kepada individu yang tidak menghormati institusi ini?
Kerajaan Negeri sememangnya peka dan mengambil kira tentang apa-apa kenyataan yang dibuat oleh mana-mana orang terhadap kedaulatan Institusi Diraja Selangor sama ada dalam media cetak atau media elektronik. Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan berdasarkan jenis kesalahan dan peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta-Akta yang lain yang memperuntukkan kesalahan bagi mereka yang sewenang-wenangnya tidak menghormati atau menghina Institusi Diraja Selangor.
Sebagai contoh, pada 20 September 2016 yang lalu, Mahkamah Seksyen Shah Alam telah menjatuhkan hukuman ke atas Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik atas komen yang bersifat jelik terhadap Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, dalam akaun Facebook miliknya tahun lepas. Ini secara langsung menunjukkan keseriusan Kerajaan Negeri dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba untuk menghina atau tidak menghormati Institusi Diraja Selangor supaya sentiasa terpelihara mengikut lunas undang-undang.