Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

244) KDNK SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah KDNK Selangor dan pendapatan Selangor akan terjejas akibat daripada pelaksanaan Darurat, PKP2.0 dan PKP3.0 sejak Januari 2021?

    Izinkan saya menjawab soalan ini bersama-sama soalan yang diterima daripada YB Sementa (No.125), YB Banting (No.244) dan YB Sungai Burong (No.26) memandangkan kesemua soalan yang diutarakan membangkitkan isu kesan penularan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat terhadap ekonomi negeri Selangor.

     

    Berdasarkan laporan pertengahan tahun 2021 World Economic Situation and Prospects (WESP), ekonomi global semasa dijangka berkembang 5.4 peratus pada 2021 setelah penurunan mendadak pada kadar 3.6 peratus pada tahun 2020. Output ekonomi di kebanyakan negara dijangka hanya akan kembali ke tahap pra-pandemik pada tahun 2022 atau 2023. Manakala International Monetary Fund (IMF) pula berdasarkan unjuran terkini yang diterbitkan pada Julai 2021 meramalkan pertumbuhan global dijangka meningkat kepada 6.0 peratus pada 2021 dan 4.4 peratus pada 2022. Prestasi KDNK Malaysia pada tahun 2020 menyusut negatif 5.6 peratus berbanding pertumbuhan positif 4.4 peratus pada tahun 2019 dipengaruhi oleh kejatuhan semua sektor ekonomi, manakala prestasi KDNK negeri Selangor pula mencatatkan pertumbuhan negatif 5.3 peratus pada tahun 2020 berbanding pertumbuhan positif 6.8 peratus pada tahun 2019.

     

    Sebelum COVID-19 melanda, daya saing Negeri Selangor sebagai sebuah wilayah di dalam ekonomi nasional menunjukkan tren yang sangat memberangsangkan dengan kadar peratusan sumbangan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus saban tahun. Tren positif ini menunjukkan secara keseluruhannya Selangor mempunyai kelebihan kompetitif yang antara lain disebabkan oleh kelebihan lokasi, dasar kerajaan, infrastruktur lengkap dan lain-lain faktor yang berfungsi sebagai penggalak kepada pertumbuhan sektor-sektor berkenaan. Ini bermakna kadar pertumbuhan kebanyakan sektor yang merekodkan nilai positif di peringkat nasional bergerak lebih perlahan jika dibandingkan dengan Negeri Selangor yang tumbuh dengan lebih cepat. Kesemua sektor yang merekodkan nilai positif adalah merupakan sektor utama (leading sectors) untuk Selangor seperti sektor perkhidmatan dan pembuatan.

     

    Pandemik ini telah mengakibatkan kemerosotan kepada ekonomi dunia. Kesan yang lebih ketara terhadap ekonomi negara berlaku apabila PKP 1.0 dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Pada pusingan pertama, gangguan terhadap ekonomi bermula dari kejutan penawaran domestik. Aktiviti pengeluaran bukan sahaja terganggu kerana kegagalan mendapatkan input barangan perantaraan dari China, malah gangguan yang lebih serius adalah kerana penutupan atau pengurangan operasi berpunca dari PKP. Dalam pada itu, kegagalan untuk memperoleh input perantaraan dari EU dan Amerika Syarikat turut berlaku apabila mereka turut melaksanakan lockdown.

     

    Pelaksanaan PKP memberi kesan kepada ekonomi dalam bentuk pengurangan pengeluaran barangan dan perkhidmatan oleh sektor ekonomi dan peningkatan pengangguran selain menyebabkan sesetengah golongan pekerja kehilangan pendapatan. Antara lain, aktiviti perdagangan kecil-kecilan terbantut, pekerja kontrak kehilangan pendapatan dan pelbagai lagi kekangan terhadap aktiviti ekonomi yang memberi kesan kepada pendapatan individu. Penurunan pendapatan individu diterjemah secara langsung kepada penurunan penggunaan swasta di dalam ekonomi domestik yang merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi terpenting sejak kebelakangan ini. Apabila sektor ekonomi ditutup, bilangan rakyat yang menganggur meningkat. Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) di Selangor menurun 0.6 mata peratus daripada 76.0 peratus pada tahun 2019 kepada 75.4 peratus pada tahun 2020. Sementara itu, kadar pengangguran di Selangor meningkat kepada 4.3 peratus pada tahun 2020. Kesan PKP menyeluruh juga lebih dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal selain pekerja di sektor pembuatan dan perkilangan yang menggaji golongan berpendapatan rendah. Kesan akibat daripada pelaksanaan PKP ke atas ekonomi dan pekerjaan ini dapat dilihat secara jelas sepanjang 2020 dan awal tahun 2021.

     

    Semasa PKP 1.0 dilaksanakan, 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan atau hasil semasa dan 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih daripada enam bulan untuk pulih dan dua daripada tiga perniagaan mempunyai atau menanggung tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan. Pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas tempoh PKP 1.0 menurunkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei kepada 4.9 peratus pada Jun 2020. Apabila beberapa negeri utama yang menjadi tulang belakang ekonomi negara terutamanya negeri Selangor dikenakan PKPB dan PKPD pada sukuan keempat 2020, kadar pengangguran meningkat daripada 4.7 peratus pada Oktober kepada 4.8 peratus pada Disember. Pelaksanaan PKP 2.0 pada pertengahan Januari 2021 memberi kesan sederhana kepada ekonomi berbanding kesan pelaksanaan PKP 1.0. Hal ini kerana PKP 2.0 membenarkan sebahagian besar sektor ekonomi beroperasi dengan pematuhan SOP.

     

    Ekoran situasi ini, jalan penyelesaian yang terbaik dalam mengimbangi antara melindungi nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah secara PKP yang bersasar dan diperketatkan dan bukan PKP secara menyeluruh sepertimana yang telah dilaksanakan pada PKP 2.0 dan PKP 3.0 bagi memastikan ekonomi negara berada pada landasan pemulihan yang progresif. Bagi negeri Selangor kesan yang dihadapi adalah amat ketara. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melaporkan sejumlah 32,469 usahawan kecil dan sederhana telah menutup operasi sejak PKP bermula pada Mac 2020. Negeri Selangor mempunyai jumlah konsentrasi IKS tertinggi di Malaysia dan ini menjadikan sektor ekonomi di Selangor amat terkesan.

     

    Ekosistem ekonomi yang kondusif disertai dengan kemudahan infrastruktur dan dasar mesra pelabur telah menjadi ciri unggul Negeri Selangor. Namun begitu sudah tentu untuk keluar daripada cabaran pandemik ini dasar dan inisiatif baharu perlu dirangka agar Negeri Selangor terus menjadi destinasi utama pelaburan di Malaysia yang stabil dan dapat mencipta peluang pekerjaan yang lebih berkualiti kepada rakyat seluruhnya. Bagi kembali merancakkan sektor ekonomi, Kerajaan Negeri sedang menggiatkan usaha bagi menggalakkan ekonomi berasaskan pengetahuan di pusat pertumbuhan strategik yang antaranya merangkumi perkhidmatan sokongan industri, perkhidmatan logistik berintegrasi, perkhidmatan berteraskan ICT, perkhidmatan perdagangan profesional dan perkhidmatan pengagihan barangan. Walaupun terdapat potensi pertumbuhan ekonomi akan meningkat, kadar dan kekuatan pemulihan akan terus terdedah kepada risiko yang berpunca daripada faktor dalam negeri dan faktor luaran. Pertumbuhan mungkin berpotensi untuk meningkat sekiranya langkah-langkah rangsangan ekonomi dan program yang dirancang dapat memberikan impak yang lebih besar daripada jangkaan termasuklah sekiranya negara berjaya mengawal dengan cekap penularan pandemik COVID-19.

Lampiran

Tiada Lampiran.