Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

121) JOM SHOPPING PERAYAAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai perancangan untuk memperluaskan Program Jom Shopping perayaan untuk penganut Kristian?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan diberikan baucar untuk pembelian barangan keperluan bernilai RM100.00 di pasar raya terpilih.

     

    Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan bagi membuat persiapan menyambut perayaan.  Program ini melibatkan peruntukan tahunan berjumlah RM8.4 juta dengan sasaran penerima seramai 84,000 orang.

     

    Sehubungan dengan itu, antara kriteria-kriteria penerima bantuan yang layak bagi setiap perayaan adalah  seperti berikut:-

     

    1. Penerima bantuan adalah masyarakat yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali;
    2. Penerima bantuan mempunyai pendapatan seisi rumah RM1,500.00 dan ke bawah;
    3. Penerima bantuan mestilah pengundi berdaftar di DUN berkenaan;
    4. Hanya seorang penerima bantuan sahaja yang layak menerima baucar bagi setiap keluarga; dan
    5. Penerima bantuan bukan penerima manfaat di bawah Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) atau Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

     

    Untuk makluman Y.B, pembahagian jumlah penerima mengikut ketiga-tiga perayaan utama tersebut adalah berdasarkan kepada statistik pengundi berdaftar mengikut bangsa Melayu, Cina dan India di setiap DUN yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia. Kaedah ini dapat membantu untuk mengenalpasti DUN yang mempunyai jumlah pengundi yang tertinggi mahupun yang terendah mengikut bangsa dan memudahkan proses pembahagian baucar bagi Program Bantuan Baucar Sempena Hari Raya Aidilfitri, Perayaan Tahun Baru Cina, dan Sambutan Perayaan Deepavali.

     

    Oleh yang demikian, pelaksanaan Program Jom Shopping Perayaan ini telah mengambil kira berdasarkan 3 kelompok etnik utama di Malaysia dimana penganut Kristian turut tergolong di dalam 2 etnik utama iaitu Cina dan India sebagai penerima baucer bagi Program Jom Shopping berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.  Sehubungan dengan itu, setiap DUN akan menerima sejumlah baucar di antara 300 unit hingga 800 unit mengikut kepadatan pengundi di sesuatu DUN berkenaan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.