Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

39) Haiwan Liar Endemik Di Hutan Simpan Kuala Langat Utara

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan haiwan-haiwan liar dan endemik yang terdapat di Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

    Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor telah menjalankan Rapid Survei di Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada 4 hingga 13 Mac 2020 selama 8 hari. Kali terakhir profil hidupan liar ini dilaksanakan oleh pihak Jabatan adalah pada tahun 2002. Sehubungan itu, terdapat keperluan pengumpulan data tersebut bagi melengkapkan data hidupan liar sedia ada.

    Kajian yang dijalankan tersebut menyentuh tiga kumpulan hidupan liar iaitu mamalia, avifauna dan herpetofauna. Melalui kajian tersebut sebanyak 29 spesies mamalia, 70 spesies burung, 7 spesies reptilian dan 11 spesies katak secara keseluruhannya sebanyak 117 spesies hidupan liar telah direkod untuk kajian pada kali ini. Pemerhatian secara langsung bagi spesies terancam seperti Musang Jebat, Viverra zibetha. Turut ditemui kelawar Small Disc Roundleaf Bat dengan nama saintifik Hipposideros orbiculus spesies yang jarang dijumpai di Semenanjung Malaysia telah ditemui di kawasan hutan terosot/belukar belah selatan HSKLU. Kepadatan spesies ini adalah rendah di seluruh Malaysia tetapi telah ditemui di kawasan Selatan HSKLU. Kali terkahir spesies ini dijumpai pada tahun 2007 di Rezab Hidupan Liar Sungkai.

    Untuk spesies mamalia primate turut ditemui empat spesies iaitu, ungka tangan putih, dimana spesies ini merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716, kedua Lotong Cengkong atau Dusky Leaf Monkey. Spesies ini merupakan spesies yang dilindungi dibawah Akta 716. Ia juga telah dikelaskan dalamkategori Near Threatened di dalam Red List Of Mammals For Peninsular Malaysia dan IUCN. Spesies ketiga adalah spesies Macaca nemestrina yang juga merupakan spesies yang dilindungi di bawah Akta 716. Ia juga telah diletakkan di bawah status Vulnerable oleh Red List of Mammals for Peninsular Malaysia dan IUCN. Spesies terakhir adalah spesies Macaca fascicularis yang merupakan spesies dilindungi di bawah Akta 716. Bagi status konservasi untuk spesies ini, ia diletakkan di bawah status Least Concern oleh Red List Of Mammals for Peninsular Malaysia dan IUCN kerana populasinya kian bertambah dari tahun ke tahun.

    Habitat burung yang terjejas dengan penerokaan hutan oleh orang tempatan yang juga menyebabkan kepelbagaian spesies burung tidak dapat dicapai pada tahap yang tertinggi seperti hutan dara. Namun begitu Hutan Simpan Kuala Langat masih mempunyai habitat semulajadi yang baik serta mampu memberikan perlindungan kepada spesies burung kawalan biologi seperti family strigidae (burung hantu). Burung hantu ini yang berhabitat di hutan akan mencari makan di sekitar lading-ladang sawit atau di pinggir hutan. Secara tidak langsung ia dapat mengawal komposisi tikus-tikus perosak kecara semulajadi.

  2. Apa pelan tindakan untuk memelihara dan memulihara stok biodiversiti disitu?

    Dalam aspek pengurusan fauna di HSKLU, Jabatan PERHILITAN Negeri Selangor menjalankan Kajian Inventori bagi mengumpulkan data hidupan liar dan input seumpamanya dalam pengurusan dan perancangan mitigasi hidupan liar-manusia yang bersesuaian. Selain itu, dalam mencapai keseimbangan keperluan komuniti dan konservasi, aktiviti penguatkuasaan berasaskan kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) adalah dilaksanakan bagi penguatkuasaan dan perlindungan secara menyeluruh ia adalah di bawah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.