Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

62) CAJ PENYELENGGARAAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bilangan kes yang didakwa di mahkamah untuk pemilik yang gagal membayar caj penyelenggaraan perumahan strata mengikut bulan dan PBT untuk 3 tahun yang lepas

    Untuk makluman Y.B, pendakwaan bagi kesalahan kegagalan atau keengganan membayar caj penyenggaraan dan pengurusan di bawah seksyen 34 Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri melalui pegawai pendakwa di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) pada tahun 2012. Seksyen 377(b) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) membenarkan pendakwaan jenayah dijalankan di mahkamah oleh mana-mana pegawai setelah Pendakwa Raya memberi kuasa untuk mendakwa secara bertulis.

    Kes pendakwaan yang telah dibawa ke mahkamah bagi kesalahan di bawah seksyen 34 Akta 663 atau seksyen 34(3) Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) [mana-mana yang berkaitan], bermula dari tahun 2012 sehingga kini adalah sebanyak 631 kes bagi 11 PBT. Berikut dilampirkan senarai kes dan senarai PBT yang tersebut seperti di Lampiran A.

  2. Adakah Kerajaan Negeri akan meningkatkan penguatkuasaan ini?

    Bagi meningkatkan penguatkuasaan bersepadu dan berkesan bagi pelaksanaan seksyen 34(3) Akta 757, Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 6/2016 yang bersidang pada 17 Februari 2016 mengarahkan pelaksanaan bagi penstrukturan semula organisasi Pesuruhjaya Bangunan (COB) di setiap PBT Negeri Selangor sebelum atau pada 31 Mac 2016 dengan menggunakan peruntukan PBT masing-masing, antara lain seperti berikut:

    • Membuat pertambahan perjawatan kontrak berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2003 seperti berikut:
    • Melantik Pegawai Undang-Undang Gred L41 kecuali Penolong Pegawai Undang-undang Gred L29 di Majlis Daerah Kuala Selangor dan Majlis Daerah Kuala Langat.
    • Melantik Pegawai Penilaian W41 bagi kategori 1 (mengikut kesesuaian PBT).
    • Melantik Penolong Pegawai Penilaian Gred W27 dengan jumlah maksimum 5 orang (mengikut kesesuaian kawasan zon utama di kawasan PBT).
    • Memenuhi waran perjawatan sedia ada di Unit COB yang masih ada kekosongan jawatan.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.