Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

10) AJARAN AGAMA SESAT DI SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah definisi terhadap ajaran agama Islam yang sesat di Selangor?

    Ajaran Agama Islam yang sesat di Selangor adalah didefinisikan sepertimana definisi ajaran sesat yang diguna pakai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada masa ini iaitu : “Sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau orang bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran atau amalan tersebut adalah ajaran Islam atau berdasarkan ajaran Islam, sedangkan hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan daripada ajaran Islam yang berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah serta juga bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah”.

  2. Senaraikan semua ajaran agama Islam yang sesat di Selangor serta butiranbutiran terperinci terhadap aktiviti mereka dan cara-cara yang telah diambil oleh pihak berkuasa terhadap mereka.

    Senarai semua ajaran yang sesat di Selangor dan butiran-butiran terperinci terhadap aktiviti mereka adalah sepertimana dilampirkan. Kesemua ajaran ini difatwakan berdasarkan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

    Tujuan pewartaan ini adalah untuk memastikan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dapat dikuatkuasakan dan tindakan dapat diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar fatwa tersebut.

    Bil Nama dan ringkasan Tahun Pewartaan
    1. Ajaran Ilmu Makrifat dan Mengenal Diri Peninggalan Tok Kenali Kelantan Oleh Shaari Bin Hj. Mohd Yusof – Gelaran Hj. Kasyaf.

    Beliau berasal daripada Tanah Merah, Kelantan. Beliau merupakan anak kepada Mohd Yusof Cik Wook yang merupakan guru beliau dalam mempelajari ilmu Makrifat Tok Kenali. Bapa beliau adalah satu-satu anak murid Syeikh Daud al-Fatani yang mempelajari ilmu Makrifat daripada al-Marhum Tok Kenali dan Tok Selehong, Kelantan. Kini beliau giat berceramah di masjid dan surau, pejabat-pejabat awam dan swasta di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri-negeri lain.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Membawa Fahaman Wahdatul Wujud
    2. Menafsir Ayat Al-Quran Mengikut ogic Aqal.
    Dalam Proses Pewartaan
    2. Kumpulan Militan Islamic State (IS) – Merupakan pecahan dari organisasi al-Qaeda yang berpusat di Afghanistan yang kini diketuai oleh Abu Aiman al-Zawahiri, mantan orang kanan Usamah Ben Laden. Kumpulan ini telah Berjaya menarik anak-anak muda Islam dari seluruh rantau dunia termasuk dari Malaysia yang telah menyertai kumpulan penentang kerajaan dan kumpulan militan di Syiria sejak konflik di Negara itu bermula pada tahun 2011.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Negara-negara umat Islam selain IS adalah Negara kafir dan wajib diperangi.
    2. Menjadi kafir kerana terlibat di dalam sistem demokrasi, pilihanraya dan kepartian.
    3 Februari 2016
    3. Tarikat Naqsyabandiah Khalidiah di bawah Pimpinan Aleh Solihin bin A. Sidiki (A.S.).

    Ajaran ini beroperasi di sekitar Lembah Klang dan Shah Alam.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Amalan ketika melakukan zikir – sentiasa beriktiqad kesempurnaan guru dan mengasihinya.
    2. Keraguan dalam majlis suluk – Mandi taubat ahli wanita akan dipantau oleh Ayah sin(guru A.S.) dan tidur ahli wanita akan dijenguk oleh Ayah Sin bagi memastikan samada ahli tersebut layak atau tidak membawa zikir.
    17 September 2015
    4. Ajaran Millah Abraham @ Ibrahim mempunyai persamaan dengan Kumpulan Negara Islam Indonesia(NII). Kumpulan ini berasal dari Bogor, Indonesia yang diketuai oleh Ahmad Musadeq.

    Ajaran ini beroperasi dan bergerak aktif di sekitar Lembah Klang, Kuala Selangor dan di Alam Damai, Shah Alam.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad SAW.
    2. Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Abraham @Ibrahim.
    17 September 2015
    5. Hizbut Tahrir – Pergerakan ini didirikan oleh Syeikh Taqiyuddin Nabhani (1909 – 1979 M). Kelahiran Ijzim, sebuah kampung di daerah Haifa, Palestin. Kumpulan ini masuk ke Malaysia di Kuala Lumpur sejak tahun 1996 oleh Dr. Syarifudin, seorang pelajar Malaysia di United Kingdom.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Pemerintah, ahli parlimen dan para ulama Islam kesemuanya kafir serta harus diperangi kerana menerima sistem kufur.
    2. Negara-negara Islam semuanya negara kafir kerana berhukum dengan sistem kafir dan haram menyertai kerajaan sekarang.
    17 September 2015
    6. Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama – berkembang melalui pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO); Islam dan bukan Islam sama ada di peringkat dalaman mahupun luar negara, parti politik, ahli akademik dan aktivis-aktivis persendirian.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Berpegang kepada Konsep Pluralisme – Konsep ini menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (Ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
    2. Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Quran dan Al-Hadith – Aliran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah.
     

     

    31 Julai 2014

     

    7.

    Pembomohan Ibrahim Mat Zin – adalah dukun atau bomoh yang juga dikenali sebagai Datok Mehaguru Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP. Beliau telah melibatkan diri dalam beberapa kes atau peristiwa yang telah berlaku di negara ini seperti dalam tragedi Highland Tower di Ulu Kelang, membatalkan Ilmu Hitam Mona Fendy dan yang terbaru tragedi kehilangan pesawat MH 370 di KLIA.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Rawatan pembomohan Ibrahim Mat Zin bercanggah dengan akidah Islam kerana Mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat dan penipuan.
    2. Beliau telah mengaitkan upacara ritual pembomohan dengan agama Islam.
    (8 April 2014 & Tidak Warta)
    8. Ajaran Syiah berkembang melalui pertubuhan Hauzah Ar-Ridha yang diketuai oleh Mohamad Kamil Zuhairi bin Abd Aziz. Pertubuhan ini beroperasi di 9C, Tingkat 3, Jalan 3/16, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Gombak, Selangor.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mengkafirkan Sahabat Rasulullah S.A.W.
    2. Sayyidina Ali K.R.W. disamatarafkan dengan Allah S.W.T.
     

     

    17 Oktober 2013

    9.

     

    Pembedahan Batin yang dikaitkan dengan rawatan Islam dengan cara dibacakan al-Fatihah dan beberapa ayat al-Quran telah mendapat sambutan hangat dari masyarakat Islam. Namun begitu, kaedah dan cara rawatannya setelah diteliti adalah bertentangan dengan Hukum Syarak.

    Antara ciri kesalahan :

    1. Amalan Sihir Dan Menyalahi Adat – Pembedahan batin dikaitkan dengan perkara luar biasa dan menyalahi adat kebiasaan seperti melakukan pembedahan perut dan dapat memindahkan organ tanpa dibedah
    2. Menggunakan Khidmat Jin Atau Syaitan
    3. Terdedah Kepada Unsur-unsur Penipuan
    (10 Oktober 2013 & Tidak Warta)
    10. Persatuan Gerakan Warisan Silam diasaskan oleh Salahuddin bin Hassan Jaba’ie. Beliau merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting dan juga sebagai Yang Dipertua persatuan ini. Persatuan ini bergerak aktif di alamat No. 47A, Jalan Emas 8, Bandar Sungai Emas 42700 Banting, Selangor.

    Antara ciri kesalahan :

    1. Tidak Menyebut Kalimah Muhammad Rasulullah Dalam Kalimah Syahadah
    2. Hanya Al-Quran Sahaja Sebagai Rujukan (Menolak Hadis Rasulullah S.A.W
    (23 Oktober 2012 & Tidak Warta)
    11. Ajaran Juruzon bin Abdul Latif

    Ajaran ini beroperasi di Madrasah At-Taqwa, Batu 14, Hulu Langat, Selangor.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Menyalahgunakan konsep zakat.
    2. Klasifikasi mahram yang bertentangan dengan syarak.
    2 Februari 2012
    12. Ajaran Kumpulan Negara Islam Indonesia (NII).

    Ajaran ini bergerak aktif di sekitar Lembah Klang dan cuba mencari dan merekrut ahli baru

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mengkafirkan selain pengikut ajaran.
    2. Memahami Al-Quran mengikut tafsiran sendiri.
     

    16 Mac 2011

    13. Ajaran Persatuan Perguruan Budi Suci Sejati Selangor berkembang melalui Persatuan Budi Suci Sejati Malaysia yang diketuai Haji Hashim bin Mohd Shariff. Ajaran ini beroperasi di 101, Rimba Suci, Tropica Kemensah, 68000 Ampang, Selangor.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Berdamping dengan jin atau dengan kembar (Qarin).
    2. Mempertikaikan adakah Rasulullah S.A.W. bersilat seperti orang Melayu.
    7 Julai 2011
    14. **Tariqat Naqsyabandiah Al-Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani di Malaysia bertentangan dengan fahaman akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan menyeleweng dari ajaran Islam.

    **Nota :

    1. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-48 yang bersidang pada 3 April 2000
    2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-85 pada 12 Februari 2009
    (12 Mei 2009 & Tidak Warta)
    15. Kumpulan Black Metal; terdiri daripada Heavy Metal, Proto Metal, Doom Metal, Power Metal, Speed Metal, Thrash Metal, Death Metal dan Progressive Metal. Kumpulan ini bersifat global dalam industri muzik tempatan.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Memuja Iblis dan Syaitan
    2. Membakar Al-Quran dan menghina Al-Quran.
    15 Mac 2007
    16. Ajaran Al-Arqam Melalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. yang diketuai Hj Ashaari Muhammad. Ajaran ini beroperasi di No. 33G, Jalan Desa 9/6, Bandar Country Homes, 48000 Rawang, Selangor.

    Antara ciri kesalahan:

    1.    Mendakwa solat Jumaat tidak wajib.

    2.    Mendakwa Ashaari Muhammad tidak perlu kitab dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ilmunya datang terus dari Allah S.W.T. dalam bentuk ilham.

    21 Disember 2006
    17. Ajaran Azhar bin Wahab berkembang melalui Al-Mansur Holding Sdn. Bhd. di Sungai Petani, Kedah yang diketuai oleh Azhar bin Wahab.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mempunyai bala tentera dan kapal terbang ghaib.
    2. Mengaku mengamalkan Aurad Muhammadiah.
    7 Oktober 2004
    18. Tarikat al-Hasaniah yang diasaskan oleh Tuan Hj Ghulam Hasan Ali al-Bikangi atau Tuan Hj Muda yang lahir pada tahun 1920 di Pakistan. Beliau mengembangkan ajarannya dan mendirikan serta mengisytiharkan Masjid Awal Bandar, Lahad Datu sebagai markas utama.

    Antara ciri kesalahan:

    1.    Mendakwa mempunyai cahaya yang kuat dari Rasulullah dan cahaya tersebut diberikan kepada muridnya yang kanan. Melalui cahaya tersebut segala hijab akan terbuka dan boleh menembusi alan ghaib.

    2.    Ahli-ahli kanan tarikat mendakwa dibawa oleh guru mereka melawat syurga, neraka dan padang mahsyar.

    28 Ogos 2003
    19. Ajaran Zamree Bin Abd. Wahab

    Antara ciri kesalahan :

    1. Mendakwa dirinya adalah Rasulullah SAW.
    2. Mendakwa boleh menunaikan haji hanya dengan mengerjakannya di Sungai Congkak, Hulu Langat sahaja.
    30 Ogos 2001
    20. Ajaran Haji Banuar Bin Roslan yang diasaskan oleh Hj Banuar bin Roslan. Berasal dari Senggarang, Batu Pahat Johor. Ajaran ini beroperasi dan berpusat di Kampung Bukit Kapar, Klang Selangor.

    Antara ciri kesalahan :

    1. Mendakwa tidak perlu solat Jumaat, jika ada urusan penting.
    2. Perubatan beliau banyak mengandungi unsur-unsur gangguan seksual.
    5 Julai 2001
    21. Fahaman Wahdatul Wujud diasaskan oleh Ibn Arabi.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa dalam diri kita ada tuhan dan menterjemahkan (maka hendaklah mereka menyembah tuhan pemilik rumah ini (Kaabah) dengan mengatakan “rumah itu” badan kita dan “رب” itu ruh kita. Ertinya kita menyembah diri kita sendiri.
    2. Syurga dan neraka seperti yang difaham dalam Islam tidak ada.
    5 Julai 2001
    22. Ajaran Ahmadiah / Qadiani yang diketuai Syed Abdul Rahman Syed Alwi beroperasi di Batu 20 Jeram, Kuala Selangor.

    Antara ciri kesalahan:

    1.    Mendakwa Ghulam Ahmad sebagai Nabi yang menerima wahyu.

    2.    Mendakwa Ghulam Ahmad sebagai Imam Mahdi.

    17 Ogos 2000
    23. Ajaran Islam Jamaah

    Antara ciri kesalahan:

    1. Dari sudut akidah – Pengikut dikehendaki berbaiah dengan mengakui Nur Hassan Al-Ubaidah Lubis sahaja Amirul Mukminin
    2. Dari sudut syariah – Menolak sumber hukum daripada ijmak dan qiyas serta melakukan solat jumaat di rumah.
     

    24 September 1998

    24. Ajaran Tijah @ Khatijah bt. Ali

    Antara ciri kesalahan:

    1.    Berzikir tidak sedarkan diri.

    2.    Mendakwa rahsia manusia di antara huruf Alif dan Ya’

     

    24 September 1998

    25. Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Bin Jonit yang diasaskan oleh Hassan Bin Jonit. Ajaran ini beroperasi di Taman Tasik Tambahan, Ampang

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa bertemu dengan Allah melalui ilmu hakikat.
    2. Mendakwa bertemu dengan Rasulullah SAW melalui ilmu hakikat roh.
     

    24 September 1998

    26.

     

    Ajaran Sulaiman (Bahtera Nabi Noh) yang diasaskan oleh Sulaiman bin Muhammad Said.

    Ajaran ini beroperasi di Kapar, Klang

    Antara ciri kesalahan:

    1. Al-Quran karangan A.Hassan sahaja diterima
    2. Mendapat ajaran Al-Quran terus dari Allah.
     

    24 September 1998

    27. Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol yang diasaskan oleh Haji Ibrahim Bin Abdullah. Ajaran ini beroperasi di Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Nikah boleh dilakukan tanpa wali dan saksi (nikah batin).
    2. Meninggalkan solat fardhu kerana cukup dengan niat di hati.
     

    24 September 1998

    28. Ajaran Syed Mohd al-Mashyor (Tarikatul Islam Muhamad S.A.W Habibullah Al Hashimi) yang diasaskan oleh Syed Mohd Al Mashyor. Seorang warganegara Singapura.  Ajaran ini beroperasi di Kg Umbai Malak pada tahun 1975 dan mula berkembang ke Kuala Lumpur serta bergiat aktif di Cheras dan Petaling jaya hingga berjaya mengumpulkan hampir 2000 orang pengikut.

    Antara ciri kesalahan :

    1.            Mengaku sebagai Rasul.

    2.            Mendakwa Rasulullah (Syed Mohd al-Mashyor) bercantum dengan Allah.

     

     

     

     

    24 September 1998

     

    29. Ajaran Martabat Tujuh Pimpinan Hamzah Bin Embi yang diasaskan oleh Hamzah Bin Embi. Ajaran ini beroperasi di batu 26 Kampung Sungai Betul, Bagan Datoh.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa dapat melihat pahala, syurga, dosa dan neraka.
    2. Mengubati penyakit dengan menggunakan sihir.
     

    7 Disember 1995

    30. Ajaran Ilmu Tajali Ahmad Laksamana 

    Antara ciri kesalahan:

    1. Guru ajaran ini mendakwa diri batin beliau dan pengikutnya adalah tuhan.
    2. Menafikan kewujudan Allah tanpa Nur Muhammad.
     

    23 November 1995

    31. Aurad Ismailiah Ajaran Mahmud bin Haji Abd Rahman.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Pengikut dikehendaki membayangkan wajah guru ketika berzikir dan bersuluk.
    2. Semasa upacara berzikir, guru akan memukul lantai menggunakan rotan menyempurnakan retak ratib.
     

    23 November 1995

    32. Tarikat Zikrullah Hasan Anak Rimau yang diasaskan oleh Arifin Bin Mohamad (ayah Pin) dan Hasan Anak Rimau. Ajaran ini Beroperasi di Besut, Terengganu

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa adalah tuhan dan tuhan adalah manusia.
    2. Dirinya adalah pemegang anak kunci syurga.
     

    23 November 1995

    33. Ajaran Jahar Bin Dumin (Ilmu Hakikat) yang diasaskan oleh Jahar Bin Dumin. Ajaran ini beroperasi di Pangsun, Hulu Langat.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa bahawa kumpulannya sahaja sebagai kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
    2. Sifat riyak adalah sifat wajib bagi kumpulan ini.
     

    23 November 1995

    34.

     

     

    Golongan Anti-Hadith berkembang di Malaysia melalui pemikiran dan tulisan oleh Kassim bin Ahmad, Idris Abdul Rahman, Othman Ali dan Dr. Rashad Khalifa.

    Antara ciri kesalahan :

    1. Dari sudut akidah – Menolak hadis secara total sebagai sumber akidah dan perundangan Islam.
    2. Dari sudut Syariah – Menolak ketetapan hukum fiqh Islam tentang aurat wanita.
    3. Dari sudut akhlak – Menghina peribadi dan kedudukan Rasulullah.
     

    23 November 1995

    35. Tarikat Mufarridiah Ajaran Syeikh Makmun Bin Yahya yang diasaskan oleh Makmun bin Yahya. Ajaran ini beroperasi di Tanjung Pura, Kalimantan.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mengamalkan zikir-zikir yang bertentangan dengan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
    2. Segala doa dan istighfar kepada Allah mestilah melalui malaikat bernama Karanaz.
     

    23 November 1995

    36. Ajaran Haji Ghazali bin Othman

    Antara ciri kesalahan:

    1. Ajaran ini membawa fahaman Wahdatul Wujud dan Martabat Tujuh
    2. Dosa dan pahala tiada bagi orang hakikat.
    28 September 1995
    37. Ajaran Mohamed Nordin Bin Puteh yang diasaskan oleh Mohamed Nordin Bin Puteh. Ajaran ini beroperasi di Lembah Keramat, Hulu Klang.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Mendakwa menerima ijazah dari langit pada tahun 1988
    2. Mendakwa dapat keluarkan cahaya seperti bintang dari tubuhnya.
     

    28 September 1995

    38. Ajaran Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya – diketuai oleh Kadirun bin Yahya. Ajaran ini beroperasi Surau Darul Amin, Batu 17, Jalan Rawang, Hulu Selangor dan Surau Darul Jamil, Kampung Sungai Lang Tengah, Banting, Kuala Langat.

    Antara ciri kesalahan:

    1. Salah Tafsir ayat Al-Quran.
    2. Menggabungkan roh untuk dapat wasilah kepada Rasulullah S.A.W. dan terus kepada Allah S.W.T.
     

    14 September 1995

    39. Fatwa Ilmu Salah yang diasaskan oleh Hj Kahar bin Ahmad. Ajaran ini beroperasi dan dikembangkan berpusat di rumahnya No. 44 Kg Kemesah Hulu Klang.

    Antara ciri kesalahan :

    1. Mengaku diri sebagai Rasul atau Utusan Allah.
    2. Mengaku menerima wahyu daripada Allah yang diturunkan di Bukit Kemensah dan diturunkan dalam keadaan sepertimana dialami oleh Rasulullah s.a.w.
    29 Ogos 1991

     

Lampiran

Tiada Lampiran.