Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

1) 5G DAN KONSORTIUM JARINGAN SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah hubungan antara Kerajaan Negeri Selangor dan Digital Nasional Berhad berkaitan projek 5G di Selangor?

    Digital Nasional Berhad (DNB) ialah syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia bagi tujuan pembangunan teknologi 5G di Malaysia. DNB juga merupakan pelaksana rangkaian 5G secara Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) di Malaysia. Kerajaan Negeri Selangor melalui Smartsel Sdn. Bhd. selaku pemegang lesen telekomunikasi Network Facilities Provider (NFP), Network Service Provider (NSP) dan Application Service Provider (ASP), yang berperanan di dalam pembangunan infrastruktur telekomunikasi dan mengurangkan kesenjangan digital di Negeri Selangor. Smartsel bekerjasama dengan DNB bagi membantu melicinkan pelaksanaan pembangunan infrastruktur telekomunikasi 5G di Negeri Selangor.

  2. Siapa Konsortium Jaringan Selangor dan hubungannya dengan Kerajaan Negeri Selangor?

    Konsortium Jaringan Selangor (KJS) merupakan syarikat yang telah diperbadankan pada 2 September 1998 di bawah Akta Syarikat 1965 dan menjalankan aktiviti telekomunikasi melibatkan perancangan, pelaksanaan dan penyelenggaraan perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Selangor.

    KJS ditubuhkan dan berperanan sebagai Syarikat Pengurusan Perkhidmatan (Management Services Company) bagi membantu Kerajaan Negeri menyelaras, merancang dan merangka pelan jangka panjang untuk mengintegrasikan kerja-kerja penyediaan kemudahan infrastruktur telekomunikasi oleh semua syarikat pembekal rangkaian telekomunikasi yang beroperasi di Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian dengan KJS pada 17 Disember 1999 iaitu Perjanjian Perkhidmatan Pengurusan atau Management Services Agreement (MSA) bagi tempoh 30 tahun (sehingga tahun 2029). Berdasarkan Klausa 3.3 Perjanjian Pengurusan Perkhidmatan yang ditandatangani, peranan KJS boleh dinyatakan seperti berikut:

    • membantu dalam pengumpulan, penyusunan dan penyelarasan semua serahan daripada penyedia infrastruktur telekomunikasi untuk mendapatkan kelulusan daripada PBT bagi membina infrastruktur telekomunikasi di Negeri Selangor;
    • membantu Kerajaan Negeri dan PBT dalam membangunkan garis panduan dan tatacara permohonan baharu dalam membina infrastruktur telekomunikasi di Negeri Selangor;
    • membantu Kerajaan Negeri dan PBT dalam pengumpulan dan penyelarasan semua bayaran yang berkaitan dengan serahan daripada penyedia infrastruktur telekomunikasi bagi mendapatkan kelulusan untuk membina infrastruktur telekomunikasi di Negeri Selangor;
    • membantu Kerajaan Negeri dalam merancang dan merekabentuk infrastruktur telekomunikasi untuk semua pembekal telekomunikasi berdasarkan input yang diberikan oleh pembekal telekomunikasi;
    • membantu Kerajaan Negeri dan PBT untuk mengutip yuran dan menyimpan wang pendahuluan (deposit) / bank draft yang diterima daripada penyedia infrastruktur telekomunikasi;
    • mengekalkan pusat pentadbiran bagi melaksanakan perkara-perkara yang disebutkan di atas;
    • menjadi ‘lead-coordinator’ dan penyelaras / penyelia bagi pihak Kerajaan Negeri untuk semua kerja yang berkaitan dengan permohonan infrastruktur telekomunikasi di Negeri Selangor berdasarkan peruntukan-peruntukan di bawah Perjanjian; dan
    • melaksanakan perkara-perkara lain yang berkaitan tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Perjanjian.

    Kerajaan Negeri Selangor meneruskan perjanjian dengan memberi kepercayaan untuk menubuhkan Yakin Telesel Sdn. Bhd. (YTSB) iaitu sebuah syarikat usahasama di antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (pemegang saham 30%) dan KJS Alunan Sdn. Bhd. (pemegang saham 70%) melalui satu Perjanjian Pemegang Saham pada 25 April 2018 yang berfungsi sebagai penyelaras utama (Lead Coordinator) untuk menyelaraskan perancangan, pelaksanaan dan penyelenggaraan perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi di seluruh Negeri Selangor.

    YTSB pada dasarnya berfungsi sebagai Agensi Pusat Sehenti (OSA) untuk memproses semua permohonan yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur telekomunikasi termasuk permohonan berkaitan penggunaan tanah atau aset Kerajaan Negeri bagi tujuan komunikasi. Kerjasama diantara MBI dan KJS Alunan akan membolehkan YTSB memberi khidmat nasihat kepada Kerajaan Negeri, Agensi Kerajaan dan juga Pihak Berkuasa Tempatan mengenai perkembangan dalam industri telekomunikasi serta menyelaraskan pembangunan utiliti telekomunikasi diseluruh Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.