Program ADUN Muda Selangor

Program ADUN Muda Selangor akan diadakan khas bagi mahasiswa dan mahasiswi dari institut-institut pengajian tinggi untuk mengalami prosiding sebenar di Dewan Negeri Selangor sebagai seorang ahli Dewan Negeri. Prosiding tersebut akan dipengerusikan oleh Tuan Speaker atau Tuan Timbalan Speaker. Melalui program ini, para peserta akan diberi pendedahan kepada prosedur dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri.

Mahasiswa dan mahasiswi akan diberi peluang untuk menyuarakan pendapat mereka tentang polisi-polisi kerajaan khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda. Mereka juga akan diberi kesempatan untuk mencadangkan usul untuk memperkenalkan undang-undang baru di Selangor.

Harapan ADUN Muda Selangor adalah untuk melahirkan bakal-bakal pemimpin yang berkaliber dan bertanggungjawab. Program ini diharapkan agar dapat memupuk sifat kepimpinan dan saling berkerjasama di kalangan peserta. Pada masa yang sama, program ini bertujuan untuk memberi kesedaran dan motivasi kepada golongan muda untuk menjadi penggubal undang-undang yang bertanggungjawab pada masa akan datang.

Lazimnya, program ADUN Muda Selangor diadakan secara fizikal di Bangunan Dewan Negeri Selangor bermula tahun 2014. Walaubagaimanapun, ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia bermula tahun 2019, Dewan Negeri Selangor mengambil inisiatif melaksanakan program ADUN Muda Selangor secara virtual buat pertama kalinya pada tahun 2020.