Pengenalan

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran raja berperlembagaan. Salah satu syarat sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan, iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif. Di peringkat persekutuan, kuasa perundangan terletak di bawah Parlimen. Parlimen merupakan badan perundangan tertinggi di Malaysia. Badan ini mengandungi tiga elemen utama iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Negeri Selangor Darul Ehsan adalah sebuah negeri yang mengamalkan Sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen berlandaskan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Di peringkat negeri, satu badan yang sama fungsinya dengan Parlimen dinamakan Dewan Negeri. Badan ini merupakan badan perundangan tertinggi di peringkat negeri dan mengandungi dua komponen iaitu Duli Yang Maha Mulia Sultan dan satu Dewan yang dikenali sebagai Dewan Negeri. Dewan Negeri merupakan badan perundangan yang berkuasa menggubal undang-undang dan menguatkuasakan undang-undang negeri yang dipanggil enakmen.

Fungsi utama Dewan Negeri Selangor ialah membahas dan menggubal undang-undang berkaitan perkara-perkara tertentu seperti tanah dan sumber-sumber asli (kecuali minyak dan gas), kemudahan awam, kebajikan dan sosial, belia dan sukan, kebudayaan dan pentadbiran negeri dan kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor. Segala Rang Undang-Undang yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri akan ditandatangani oleh Dulu Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan akan menjadi undang-undang setelah diwartakan dalam Warta Kerajaan. Selain daripada itu, fungsi Dewan Negeri Selangor, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  • Memilih Speaker
  • Menjalankan upacara mengangkat sumpah Ahli-Ahli Dewan Negeri yang baru dipilih
  • Membahaskan Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan
  • Pemasyhuran dari Speaker
  • Membawa Usul-usul untuk dibahaskan
  • Membawa rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh ADN setelah disahkan oleh Speaker
  • Membawa pertanyaan-pertanyaan daripada ADN kepada Y.A.B Dato’ Menteri Besar berhubung hal-hal yang dalam urusan jabatan rasminya
  • Sebagai pemangkin kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri untuk menyuarakan isu isu berkenaan dengan tugas-tugas mereka
  • Sebagai pemangkin kepada Y.A.B. Dato’ Menteri Besar untuk memberi penerangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan