Kenyataan Media: Program ADUN Muda Selangor 2015

Kenyataan Media: Program ADUN Muda Selangor 2015

 

28 MEI 2015

Program ADUN Muda Selangor telah dianjurkan oleh Pejabat Speaker dan Pejabat Dewan Negeri Selangor khas bagi mahasiswa dan mahasiswi dari institut pengajian tinggi di sekitar Selangor untuk memberi peluang kepada mereka mengalami prosiding sebenar di Dewan Negeri sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Program ini telah diadakan sepanjang 2 hari bermula semalam (27 Mei 2015) sehingga hari ini (28 Mei 2015) di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Pada sesi kali ini, kami telah menerima sebanyak 93 permohonan dari seluruh Malaysia dan 56 orang peserta daripada institut-institut pengajian tinggi awam dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta Penggerak Belia Tempatan (PeBT) telah dipilih. Panel pemilihan terdiri daripada YB Hannah Yeoh (Speaker), YB Shafie Ngah (Timbalan Speaker) dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad (EXCO Pendidikan).

Peserta-peserta yang terpilih merupakan gabungan peserta-peserta dari kawasan bandar dan juga luar bandar di negeri Selangor selain daripada peserta-peserta dari luar Selangor yang menuntut di Selangor.

Program ADUN Muda Selangor kali ini merupakan siri ketiga yang dianjurkan oleh Dewan Negeri Selangor di mana ia bertujuan untuk mendidik golongan muda tentang peranan dan tanggungjawab seorang wakil rakyat dan mendedahkan mereka kepada dunia politik daripada peringkat awal. Para peserta telah mempelajari tentang prosedur dan proses penggubalan undang-undang di peringkat negeri dan diberi pendedahan kepada persidangan di Dewan Negeri Selangor apabila mereka membahaskan usul-usul sebagai ADUN muda yang akan dipengerusikan oleh Tuan Speaker dan Timbalan Speaker sendiri. Mereka akan turut diberi ruang untuk berbahas dengan EXCO Pendidikan dan EXCO Belia ketika sesi perbahasan tersebut.

Para peserta juga telah berpeluang untuk berdialog serta beramah mesra dengan ADUN-ADUN Kerajaan dan juga Pembangkang. Melalui program ini juga, Dewan Negeri Selangor telah berjaya merapatkan lagi hubungan di akar umbi khususnya dengan anak-anak muda dan membuatkan Dewan Negeri Selangor lebih mesra dan mudah diakses selaras dengan konsep ketelusan yang menjadi salah satu tunjang utama Kerajaan Negeri Selangor.

Hannah Yeoh
Chairman of SELCAT
Speaker of the Selangor State Legislative Assembly