Kenyataan Media Jawatankuasa Pilihan Berkenaan Pihak Berkuasa Tempatan (JB-PBT)

KENYATAAN MEDIA JAWATANKUASA PILIHAN BERKENAAN PIHAK BERKUASA TEMPATAN (JP-PBT) DEWAN NEGERI SELANGOR 2015

 

18 MAC 2015

Peningkatan ketara kes demam denggi di negeri Selangor sejak kebelakangan ini amat membimbangkan. Antara faktor-faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada peningkatan ini adalah disebabkan pengurusan sampah dan sisa pepejal serta pembersihan awam yang dilihat tidak konsisten dan tidak memuaskan. Selain daripada sikap penduduk setempat, Pihak Berkuasa Tempatan juga memainkan peranan penting dalam memastikan kutipan sampah dan pembersihan kawasan awam dapat dijalankan mengikut jadual. 

Selain daripada itu, antara masalah yang menjadi perhatian Jawatankuasa ini adalah berkenaan penyelenggaraan jalan raya di seluruh Selangor. Kualiti jalan raya di Selangor di lihat agak terkebelakang berbanding negeri-negeri lain walaupun Selangor merupakan negeri yang paling maju di Malaysia. Aduan berkenaan keadaan jalan yang berlubang dan tidak rata serta kualiti penurapan semula jalan-jalan utama sering menghiasi dada-dada akhbar tempatan. 

Walaupun Kerajaan Negeri telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani masalah-masalah ini, aduan demi aduan masih diterima. Oleh yang demikian, sebagai sebuah Jawatankuasa Pilihan yang telah ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor untuk memeriksa dan memantau selia apa-apa perkara berkaitan PBT seperti yang diperuntukkan di dalam Peraturan 68B (1) (c) Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor, Jawatankuasa telah memutuskan untuk menyiasat dengan lebih terperinci berkenaan isu-isu ini dan seterusnya membuat saranan-saranan yang sewajarnya setelah mengambil kira aduan, pandangan serta cadangan daripada pihak-pihak yang berkaitan di dalam sebuah penyata jawatankuasa yang akan dibentangkan pada sidang kedua nanti. 

Sebagai permulaan, Jawatankuasa ini telah mengadakan satu pendengaran tertutup bersama kesemua dua belas PBT di Selangor bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi berkenaan masalah pengurusan sampah mereka pada 27 Februari 2015 yang lepas. 

Bagi isu penyelenggaraan jalan pula, Jawatankuasa akan mendapatkan maklumbalas secara bertulis daripada kesemua PBT dan juga pihak JKR berkenaan ‘Standard Operating Procedure’ atau SOP yang digunapakai di dalam penyelenggaraan jalan-jalan di negeri Selangor. Jawatankuasa seterusnya akan memanggil pakar-pakar di dalam isu ini sebelum membuat saranan kepada Kerajaan Negeri.

DR. IDRIS BIN AHMAD
PENGERUSI
JAWATANKUASA PILIHAN MENGENAI PIHAK BERKUASA TEMPATAN

SHAH ALAM, SELANGOR