Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Persidangan Dewan Negeri Selangor Kelima Belas Tahun 2025

14 November 2025, 17 November - 21 November 2025 dan 24 November - 27 November 2025 (Jumaat, Isnin-Jumaat dan Isnin - Khamis)

18) SUKMA SELANGOR 2026

Tahun: 2025

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk penganjuran SUKMA Selangor 2026 ini?

    Penganjuran Temasya Sukan Malaysia ( SUKMA ) 2026 adalah merupakan edisi kali ke-22 yang mana kali terakhir Negeri Selangor bertindak selaku Tuan Rumah adalah pada 28 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1998.

    Bagi menjayakan pelaksanaan penganjuran Temasya SUKMA 2026 Kos keseluruhan perbelanjaan penganjuran dianggarkan berjumlah RM250,000,000.00. Ianya melibatkan kos dari aspek pengurusan sekretariat, persediaan atlet, penyediaan teknikal peralatan kelengkapan pertandingan, perkampungan sukan / makan minum, sistem teknologi ICT/ sistem, logistik/ pengangkutan, media/ promosi / protokol, hadiah / cenderamata, keselamatan / kecemasan/ Doping, Majlis Pembukaan / penutup / Majlis makan malam rasmi/ pertandingan golf VIP, Pelancaran Temasya / larian obor, sukarelawan, dan infrastruktur/venue pertandingan.

    Walau bagaimanapun Kerajaan Negeri Selangor hanya akan menyediakan peruntukan sejumlah RM 100,000,000.00 kepada Sekretariat SUKMA Selangor bagi menguruskan pelaksanaan penganjuran Temasya SUKMA 2026. Namun untuk menampung kos penganjuran yang tinggi ini kerajaan Negeri Selangor percaya akan ada jumlah penajaan daripada Syarikat Agensi Kerajaan (GLC) mahupun Swasta akan turut bersama membantu dalam pelaksanaan penganjuran Temasya SUKMA 2026 ini.

  2. Sila berikan senarai tugas pihak PBT yang terlibat dalam SUKMA Selangor 2026.

    Dalam memastikan pelaksanaan penganjuran Temasya SUKMA 2026 semua agensi di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor akan terlibat secara langsung. Antara agensi terpenting adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Negeri Selangor melibatkan :-

    1. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
    2. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ)
    3. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
    4. Majlis Bandaraya DiRaja Klang (MBDK)
    5. Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
    6. Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ)
    7. Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)
    8. Majlis Perbandaran Sepang (MPSp)
    9. Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL)
    10. Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
    11. Majlis Perbandaran Hulu Selangor ( MPHS )
    12. Majlis Daerah Sabak Bernam ( MDSB )

    Antara peranan penting di bawah Pihak PBT adalah seperti :-

    1. Bertanggungjawab sepenuhnya terhadap semua infrastruktur seperti dewan atau kompleks sukan dibawah selian mereka yang dijadikan sebagai venue pertandingan berada di dalam keadaan sedia untuk digunakan. Ianya termasuklah membiayai kos samada baik pulih mahupun naik taraf kemudahan tersebut.
    2. Penglibatan PBT di dalam Program Bapa Angkat SUKMA kepada 37 Jenis Sukan yang akan dipertandingkan pada SUKMA 2026 dalam membantu untuk menyediakan keperluan pasukan mengikut kesesuaian sebelum mahupun semasa Temasya SUKMA berlangsung.
    3. Membantu dari segi menyediakan kemudahan logistik kepada kontinjen SUKMA negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.