Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2011

28 Mac hingga 31 Mac 2011 dan 01 April 2011

1) PEMBALAKAN HARAM

Tahun: 2011

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan kes pembalakan tanpa kebenaran di hutan simpanan dalam tahun 2010?

    1. Bilangan kes pembalakan tanpa kebenaran yang direkodkan dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal dalam tahun 2010 ialah sebanyak 38 kes dan semuanya berlaku di kawasan Hutan Simpan berjenis paya laut (Hutan Bakau).
  2. Apakah usaha kerajaan dan kekurangannya dalam pencegahan pembalakan tanpa kebenaran?

    1. Usaha kerajaan dalam pencegahan pembalakan tanpa kebenaran  ialah memperuntukkan sebanyak RM150,000-RM200,000 setiap tahun melalui Projek Pembalakan Haram Sifar kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor bagi  tempoh RMK 10 (2011-2015) khususnya bagi pemantauan melalui udara menggunakan helikopter. Kerajaan Negeri dalam proses untuk membuat pengisian kekosongan 8 jawatan baru bagi menjalankan aktiviti penguatkuasaan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).
  3. Apakah status atau kemajuan dalam perlaksanaan pembalakan secara sistem pengurusan selektif(selectial management system) di Selangor?

    Sistem Pengurusan Memilih atau Selective Management System(SMS) ialah sistem pengurusan hutan yang telah diamalkan di Selangor sejak tahun 1980an. SMS  diamalkan dalam kawasan hutan asli yang diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal(HSK) bagi menjamin pengeluaran hasil hutan, khususnya kayu balak secara berkekalan/mampan iaitu setelah mencapai tempoh matang antara 25 hingga 55 tahun. Sistem ini melibatkan bancian(inventori) bagi menentukan had tebangan  bagi  pokok yang matang dalam kawasan HSK yang telah dikenalpasti mengikut kup (had) keluasan tebangan tahunan yang telah ditetapkan oleh  Majlis  Perhutanan  Negara  (kini diserapkan ke dalam Majlis Tanah Negara) dan diluluskan oleh Majlis  Mesyuarat Kerajaan Negeri. Had tebangan ditentukan berasaskan dua(2) jenis utama kayu balak iaitu Damar atau Dipterokarpa (spesis termasuk pokok seperti Chengal, Meranti dan Keruing) dan Bukan Damar atau Bukan Dipterokarp (spesis seperti  Merbau,  Kempas  dan Nyatoh) bertujuan untuk memastikan bahawa sekurang-kurangnya 25% daripada hutan yang ditinggalkan setelah pembalakan terdiri dari pokok-pokok dari jenis Damar yang menjadi identiti hutan hujan negara ini. Pokok-pokok berdasarkan saiz had  tebangan ini akan ditanda di lapangan. Pembalakan yang dijalankan perlu mematuhi garispanduan ketat dinamakan Reduced Impact Logging(RIL) bagi memberikan kesan minima ke atas dirian hutan yang Bancian anak pokok yang tinggal akan dilaksanakan selepas pembalakan bagi menentukan rawatan sesuai bagi membantu pertumbuhan anak pokok ini bagi pusingan tebangan yang akan datang. Sejak tahun 2008, SMS tidak dilaksanakan kerana dasar moritorium pembekuan pembalakan oleh Kerajaan Negeri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.