Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

265) PELUANG PEKERJAAN

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Datuk Rosni Binti Sohar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah peluang pekerjaan di Selangor dari 2016-2018.

    Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor, statistik peluang pekerjaan yang tersedia di Selangor menurut portal JobsMalaysia dari tahun 2016 hingga 2017 adalah sebanyak 898,172 peluang pekerjaan.

    TAHUN PELUANG PEKERJAAN
    2016 212,495
    2017 392,987
    2018 292,690
    JUMLAH 898,172

     

  2. Senaraikan program yang dianjurkan pada 2018 bagi meningkatkan peluang pekerjaan dan keberkesanannya.

    Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif dalam menganjurkan program – program tersebut sepanjang tahun 2018 bagi meningkatkan peluang pekerjaan di Selangor seperti berikut:

    1. Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair adalah kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia iaitu sebuah program yang memberi peluang kepada rakyat Selangor bagi mendapatkan pekerjaan. Program ini akan dilaksanakan sebanyak dua (2) siri pada tahun 2018. Selangor Job Fair siri satu (1) telah diadakan pada 4 Ogos 2018 bertempat di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Sebanyak 5,359 peluang pekerjaan telah ditawarkan dan daripada jumlah tersebut seramai 3,177 calon telah berjaya mendapat pekerjaan. Selangor Job Fair siri dua (2) akan diadakan pada 13 – 15 Disember 2018 bertempat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

    1. Pendidikan Kemahiran dan Vokasional Percuma

    Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional secara percuma di Kolej INPENS bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang. Peruntukan tahunan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional percuma adalah berjumlah RM 5,000,000.

    • Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan dalam melalui kursus dalam bidang – bidang seperti berikut:
      • Kursus Keusahawanan Penternakan (Ruminan & Unggas)
      • Kursus Pemantapan Pemantauan Keusahawanan
      • Kursus Percetakan Segera Pentauliahan Sijil SKM Tahap 3: Peserta Urutan Selepas Bersalin
      • Kursus Keusahawanan Penternakan
      • (Makanan ternakan dan Rancangan Perniagaan)
      • Kursus Soft Skills Usahawan Penternakan & Pengurusan Kewangan (Online)
      • Kursus Keusahawanan  Penternakan   (Sembelihan   Halal   & Penyediaan Makanan (BBQ)
      • Mobile Service Aircond
      • Cuci Kasut
      • Mobile Barber
      • Ayam Gunting
      • Terapi Bekam
      • Bakery
      • Mobile Spa
      • Dekorasi Pelamin
      • Kiosk Sate

    Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal. Pada tahun 2011 hingga 2018, terdapat 3,248 orang peserta yang telah terpilih untuk menyertai Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS). Daripada jumlah tersebut, seramai 2,436 orang peserta (75%) telah berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut. Purata pendapatan bulanan mencatatkan jumlah tertinggi  bagi purata pendapatan berjumlah RM500 – RM2,000 sebulan melalui 1,712 orang peserta (52.71%).

    1. Program Graduate Employability and Enhancement Selangor

    (PROGRES)

    Program Graduate Employability and Enhancement Selangor (PROGRES) adalah sebuah program yang diperkenalkan pada tahun 2016 untuk memberi peluang kepada belia-belia yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjalani latihan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran belia khususnya di Selangor termasuk penempatan di syarikat-syarikat terpilih.

    Pada tahun 2016 hingga 2017, seramai 402 peserta telah  terpilih untuk menyertai PROGRESS. Daripada jumlah tersebut, seramai 347 orang peserta (86.32%) telah berjaya mendapat penempatan pekerjaan di syarikat-syarikat terpilih setelah tamat program tersebut.

    1. Program Inisiatif Kemahiran Teknikal & Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS)

    Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) telah diperkenalkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sewaktu Belanjawan 2018 Negeri Selangor dengan peruntukan sebanyak  RM52,000,000 setahun. Kerajaan Negeri Selangor akan memberi pembiayaan kepada 2,000 belia Selangor dalam pelbagai bidang kemahiran melalui kerjasama dengan Strand Aerospace, INPENS, Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC), dan SST & Consultancy Academy. Program kemahiran ini menawarkan pelbagai  latihan teknikal dan vokasional bagi memenuhi industri seperti industri aeroangkasa dan industri halal kepada belia Selangor dalam tempoh tertentu di mana setelah tamat program kemahiran ini, belia – belia ini akan diserapkan sebagai tenaga mahir di dalam pasaran industri – industri di Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.