Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
169) PELABUHAN PULAU CAREY
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah perancangan kerajaan untuk membangunkan Pelabuhan Pulau Carey beserta jadual perancangan?
Mesyuarat Jemaah Menteri yang telah diadakan pada 3 November 2023 bersetuju supaya cadangan Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey diteruskan dan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan yang dianggotai oleh semua Kementerian dan agensi Kerajaan serta pihak yang berkepentingan untuk memperincikan peranan dalam perancangan pembangunan ini.
Bengkel Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey telah diadakan oleh Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Lembaga Pelabuhan Kelang dan PLANMalaysia Selangor untuk membincangkan hala tuju Pembangunan dan seterusnya meneliti perancangan serta mengenal pasti isu-isu dan cabaran selanjutnya.
Mesyuarat perancangan pembentukan Jawatankuasa bersama pihak Kementerian Pengangkutan dan Agensi Kerajaan berkaitan akan diadakan pada waktu yang akan ditetapkan kelak, di mana jadual perancangan pembangunan akan diselaraskan berdasarkan perbincangan dan keputusan Jawatankuasa tersebut.
-
Apakah jangkaan pelaburan dan penggunaan di Pelabuhan Pulau Carey berbanding Westport dan Northport?
Berdasarkan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) yang telah dijalankan oleh Kementerian Pengangkutan melalui Lembaga Pelabuhan Klang dan telah dibentangkan kepada Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES), didapati Pelabuhan Klang sedia ada dijangka akan mencapai tahap maksimum kapasiti pada 2025. Kapasiti pengendalian kontena sedia ada adalah 19.6m TEU, iaitu 5.6 juta TEU di Northport dan 14 juta TEU di Westports.
Cadangan pembangunan Pulau Carey sebagai Pelabuhan Ketiga dijangka dapat menambah kapasiti pengendalian kontena sebanyak 30 juta TEU dan akan dibina secara berperingkat sebagai satu integrated port city yang mempunyai rangkaian infrastruktur pengangkutan yang komprehensif, pergudangan, logistik dan kawasan perindustrian moden berasaskan automasi industri 4.0.
Perbelanjaan modal (CAPEX) bagi pembangunan Pelabuhan Ketiga ini dianggarkan sebanyak RM 28 bilion dan kos pembangunan infra berkaitan sebanyak RM 2.4 bilion.
Anggaran Nilai Tambah Kasar / Gross Value Added (GVA) bagi projek ini kepada Negara adalah sebanyak RM 40.2 bilion menjelang 2060 dengan pulangan melalui cukai langsung dan tidak langsung sebanyak RM 5.98 bilion. Selain daripada itu, dianggarkan sebanyak 115,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan sejajar dengan pembangunan Pelabuhan Ketiga ini.
