Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

188) KESIHATAN MENTAL

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif kesihatan mental yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri? Nyatakan perbelanjaan yang berkaitan.

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Bukit Melawati (N10) No.83 (a), Teratai (N22) N0.94 (c), Rawang (N14) No.98 (c), Taman Templer (N15) No. 137 (a), Kampung Tunku (N35) No.144 (b), Kota Anggerik (N40) No.151 (a), Subang Jaya (N31) No.208 (a) dan Sementa (N43) No. 224 (b). Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri menyedari akan kepentingan penjagaan kesihatan mental terutamanya di kala pandemik Covid-19 yang semakin mencatatkan kadar kes harian yang tinggi. Saban hari kita melihat kes-kes yang disebabkan oleh masalah kesihatan mental. Justeru itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam telah memperuntukkan RM500,000.00 bagi program berkaitan penjagaan mental pada tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM420,648.00 telah diperuntukkan bagi Program Selangor Mental Sihat (SEHAT).
    Program SEHAT ini adalah satu program yang menyeluruh merangkumi promosi, kesedaran, saringan awal dan intervensi awal dengan kerjasama pasukan penyelidik dari agensi seperti berikut:

    i. Universiti Islam Antarabangsa (IIUM);
    ii. Universiti Sains Malaysia (USM);
    iii. Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR); dan
    iv. NGO- Mental Illness Awareness & Support Association (MIASA)

    Sebagai permulaan, program advokasi dan kesedaran melibatkan 8 siri bicara kesihatan mental telah dijalankan secara atas talian secara mingguan bermula 5 Jun 2021. Seiring dengan kemajuan teknologi, Program SEHAT ini akan diintegrasikan bersama aplikasi Selangkah untuk memudahkan para pengguna mendapat akses untuk melakukan saringan kendiri berkenaan status kesihatan mental. Pengguna juga akan mendapat akses kepada 3 intervensi awal iaitu video edukasi psikologi, forum serta talian. Program SEHAT juga akan turut merangkumi sebanyak 30 video edukasi psikologi dan akan dimuatnaik bersama aplikasi SELangkah.

    Bagi memudahkan warga Selangor mendapatkan nasihat kaunselor, talian telefon sokongan psikososial akan diwujudkan dan tersedia melalui aplikasi WhatsDoc. Para pengguna akan berpeluang untuk mendapatkan nasihat kaunselor bertauliah secara percuma dan sesi peer support bersama badan bukan kerajaan (NGO) di dalam aplikasi Whatsdoc. Melalui inisiatif ini, dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor komited dalam menangani isu berkaitan kesihatan mental secara holistik yang memberi kesan kepada rakyat Selangor khususnya berikutan wabak pandemik Covid-19 yang melanda negara.

  2. Apakah status pembangunan app DASS (Depression Anxiety and Stress Scale)?

    Kerajaan Negeri tiada perancangan dalam pembangunan DASS (Depression Anxiety and Stress Scale). Walau bagaimanapun, program SEHAT yang sedang dilaksanakan akan turut mempunyai fungsi dan peranan sama seperti DASS dan dapat membantu golongan yang memerlukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.