Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

154) KEPADATAN PENDUDUK KG SELAYANG BARU

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Sany Bin Hamzan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pihak kerajaan sudah memulakan langkah untuk menjadikan Kampung Selayang Baru kepada dua pentadbiran MPKK kerana kepadatan penduduk?

    Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Gombak sedang dalam proses akhir penyediaan kertas cadangan iaitu penentuan sempadan yang juga berdasarkan kepada Laporan Akhir Penentuan Sempadan Kampung dan Penandaan Kedudukan Spatial Kemudahan Awam Kampung bagi Negeri Selangor oleh PLANMalaysia.

    Pejabat Daerah dan Tanah Gombak juga akan mengemukakan kertas cadangan tersebut kepada Kerajaan Negeri dengan kadar segera setelah penelitian terperinci bersama-sama Majlis Perbandaran Selayang dan persetujuan bersama pihak berkepentingan dapat dicapai.

    Kerajaan Negeri juga ingin menarik perhatian ahli dewan bahawa mewujudkan kampung baharu ataupun institusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bukanlah sesuatu yang mudah kerana banyak aspek yang perlu diperhalusi dan diambil kira seperti penambahan keperluan kemudahan awam, pengezonan kawasan sensitiviti masyarakat, dan banyak lagi.

    Namun demikian, Kerajaan Negeri tetap komited untuk memberikan perhatian terhadap isu kepadatan penduduk di kawasan pinggir bandar bukan sahaja di Kampung Selayang Baru bahkan di kawasan-kawasan lain juga. Kerajaan Negeri juga terbuka untuk menerima sebarang cadangan dan pandangan dari mana-mana pihak yang boleh memberi manfaat kepada rakyat di dalam menangani isu ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.