Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022

25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)

150) KADAR KEMISKINAN DAERAH KUALA SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan kadar terkini miskin tegar dalam kalangan penduduk di Daerah Kuala Selangor mengikut pecahan etnik/kaum.

    Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Burong, statistik berkaitan dengan pendapatan isi rumah diperoleh melalui Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas. Survei ini dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun dan laporan yang terkini adalah pada 2019 yang telah diterbitkan pada Julai 2020. Laporan ini memaparkan maklumat statistik berkaitan dengan taburan pendapatan dan juga statistik kemiskinan isi rumah di peringkat nasional, negeri serta daerah pentadbiran. Oleh yang demikian, maklumat mengikut penduduk dan pecahan etnik/kaum adalah tidak tersedia melalui survei ini.

     

    Sesebuah isi rumah dikategorikan sebagai miskin tegar jika pendapatan keseluruhan isi rumahnya berada di bawah paras nilai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan. Pada tahun 2019, nilai purata PGK di peringkat negeri Selangor ialah RM2,022 sebulan manakala purata nilai PGK makanan adalah RM1,166 sebulan dengan purata saiz isi rumah seramai 3.9 orang. Insiden kemiskinan tegar direkodkan sebanyak 0.2 peratus pada tahun 2019. Bilangan isi rumah miskin tegar dan insiden kemiskinan tegar bagi daerah pentadbiran Kuala Selangor pada tahun 2019 adalah seperti di Jadual 1.

     

     

     

     

     

     

    Jadual 1 : Bilangan isi rumah miskin tegar dan insiden kemiskinan tegar bagi daerah pentadbiran Kuala Selangor, 2019

     

    Daerah Pentadbiran Bil. Isi Rumah Miskin Tegar (‘000) Insiden Kemiskinan Tegar (%)
    Kuala Selangor 0.4 0.7

     

    Berdasarkan Anggaran Pendapatan isi Rumah dan insiden Kemiskinan 2020, dianggarkan bilangan isi rumah miskin di Malaysia meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah pada tahun 2020 berbanding 405.4 ribu isi rumah pada tahun 2019. Insiden kemiskinan mutlak turut meningkat daripada 5.6 peratus (2019) kepada 8.4 peratus. Insiden kemiskinan tegar pula dianggarkan meningkat daripada 0.4 peratus (2019) kepada 1.0 peratus melibatkan 78.0 ribu isi rumah (2019: 27.2 ribu isi rumah).

     

    Nilai anggaran daripada kajian ini hanya dapat dikeluarkan di peringkat nasional sahaja. Analisis yang lebih lengkap akan dapat diperoleh melalui Survei HIS & BA yang sedang dilaksanakan pada tahun 2022 untuk tempoh 12 bulan di seluruh negara. Dapatan daripada data survei ini tidak hanya terhad di peringkat nasional dan negeri sahaja tetapi dapat dijana sehingga ke peringkat daerah pentadbiran.

  2. Berapakah jumlah terkini bantuan mesin/peralatan percuma yang telah diberikan kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah di bawah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan di Daerah Kuala Selangor mengikut Kawasan ADN?

    Untuk makluman Yang Berhormat Sungai Burong, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Malah, Pejabat Daerah/ Tanah juga berperanan membuat perolehan bagi pembelian peralatan atau mesin. Sehubungan dengan itu, tiada perincian data penerima mengikut ADN kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah/ Tanah.

     

    Berdasarkan rekod dari tahun 2018 sehingga 2022, jumlah keseluruhan penerima manfaat bagi program ini adalah seramai 1,796 orang dengan jumlah peruntukan keseluruhan yang telah dibelanjakan bagi lima tahun tersebut adalah sebanyak RM7,306,720.00 (Ringgit Malaysia: Tujuh Juta Tiga Ratus Enam Ribu Tujuh Ratus Dua Puluh Sahaja). Bagi daerah Kuala Selangor sahaja, dari tahun 2018 sehingga 2022 seramai 128 orang telah diluluskan permohonan dengan peruntukan sebanyak RM567,650.00 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Enam Puluh Tujuh Enam Ratus Lima Puluh Sahaja).

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    1. Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) ini merupakan survei berkala yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kekerapan dua kali bagi setiap lima tahun. Tujuan utama survei ini adalah untuk mengumpul pola taburan pendapatan isi rumah dan juga bagi mengenal pasti golongan isi rumah miskin. Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS & BA) merupakan survei secara sampel yang meliputi negeri serta kawasan bandar dan luar bandar. Penemuan survei yang terkini adalah pada tahun 2019 yang merupakan survei kali ke-18. Laporan HIS & BA 2019 telah diterbitkan pada 10 Julai 2020.
    2. Konsep dan definisi pendapatan yang diguna pakai adalah berdasarkan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation). Pendapatan isi rumah yang dimaksudkan mestilah pendapatan yang pasti diterima (terakru) oleh ahli isi rumah sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan dalam tempoh setahun dan berlaku secara berkala atau berulang kali (sekurang-kurangnya sekali dalam setahun).
    3. Maklumat pendapatan diperoleh daripada ahli isi rumah yang menerima pendapatan.
    4. HIS & BA adalah berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistics, Second Edition (2011) yang diterbitkan oleh United Nations dan diterima pakai di peringkat antarabangsa.
    5. Punca-punca pendapatan isi rumah adalah merangkumi punca daripada pekerjaan bergaji; bekerja sendiri; harta & pelaburan; dan pindahan semasa yang diterima seperti contoh di bawah. Pendapatan isi rumah juga adalah termasuk dalam bentuk tunai dan juga mata benda (in-kind).

     

    1. a) Pekerjaan bergaji – contoh: gaji yang dibayar oleh majikan; bonus & elaun; makanan percuma atau konsesi; dan terimaan lain daripada majikan.
    2. b) Bekerja sendiri – contoh: aktiviti pertanian (termasuk kegunaan sendiri); dan aktiviti bukan pertanian (termasuk kegunaan sendiri).
    3. c) Harta dan pelaburan – contoh: sewaan daripada harta; royalti; faedah simpanan & pinjaman yang diberi; dan dividen daripada pemilikan saham.
    4. d) Pindahan semasa diterima – contoh: pemberian daripada isi rumah lain; pencen; dan pembayaran berkala lain.

     

    1. Pendapatan isi rumah adalah untuk warganegara sahaja.
    2. Anggaran pendapatan isi rumah dan kemiskinan 2020 dilaksanakan menggunakan data Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIS & BA 2019) dengan menggunakan profil isi rumah yang sama dan mengandaikan bahawa faktor pendapatan daripada harta dan pelaburan tidak berubah. Kaedah ekstrapolasi digunakan bagi menganggar pendapatan isi rumah pada tahun 2020. Ekstrapolasi adalah satu teknik ramalan atau anggaran di luar julat pemerhatian asal berdasarkan hubungannya dengan pemboleh ubah lain dan beberapa keadaan hipotesis data yang telah diketahui.
    3. Berdasarkan definisi standard antarabangsa bagi pendapatan isi rumah, bantuan berbentuk one-off tidak dikira sebagai pendapatan diterima kerana ianya tidak terakru (berulang dan pasti diterima). Namun begitu, bantuan berkaitan yang bukan berbentuk one-off akan dianalisis bagi mengenalpasti kesan penerimaan bantuan ini kepada pendapatan isi rumah atau individu semasa pandemik COVID-19.
    4. Dalam menjalankan kajian ini, beberapa indikator ekonomi lain yang mempunyai kesan ke atas pendapatan isi rumah telah digunakan, ini termasuklah purata gaji dan upah yang diterima dari Survei Gaji dan Upah, struktur pekerjaan dan pengurangan bilangan pekerja mengikut sektor dari Survei Tenaga Buruh, sumbangan KDNK mengikut sektor dari Survei Ekonomi serta nilai bantuan yang disalurkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa tahun 2020. Hasil analisis ini hanya melibatkan anggaran di peringkat nasional dan negeri sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.