Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

229) GURU DAN PROGRAM BANTUAN SEKOLAH NEGERI SELANGOR

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Razali Bin Saari

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah guru JAIS yang terlibat dengan perpindahan serta jumlah guru yang memilih untuk berhenti 24jam dan notis satu bulan?

    Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah melaksanakan perpindahan atau pertukaran ke atas guru KAFA pada 4 September 2023. Jumlah guru JAIS (KAFA) yang terlibat dengan perpindahan atau pertukaran adalah seramai 130 orang melibatkan seramai 50 orang guru dari daerah Sabak Bernam dan seramai 80 orang guru dari daerah Kuala Selangor.

    Perpindahan atau pertukaran ini dibuat oleh pihak JAIS adalah disebabkan terdapat lebihan guru-guru KAFA di sekolah dengan melihatkan kepada nisbah kelas, murid dan guru yang ada selain disebabkan terdapat kekurangan guru KAFA di daerah Kuala Selangor, Klang dan Gombak.

    Perpindahan atau pertukaran ini juga dapat mengatasi kenaikan yuran bulanan yang dikenakan kepada ibu bapa atas keperluan membayar guru rakyat yang dilantik oleh pihak sekolah.

    Tiada guru yang memilih untuk berhenti 24 jam. Manakala terdapat 7 orang guru yang memberi notis peletakan jawatan 14 hari melibatkan daerah Sabak Bernam 1 orang dan daerah Kuala Selangor 6 orang.

    (Berdasarkan maklumbalas jawapan yang diberikan oleh JAIS)

  2. Berapakah jumlah peruntukan yang diperolehi oleh setiap sekolah-sekolah tersebut : SAR, SJKC, SJKT, SEK.MUBALIGH, SMJK, SK, SMK, SMPC?

    Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk membaikpulih infrastruktur sekolah dan menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang selesa bagi guru dan murid. Bagi tahun 2023, sebanyak RM26.5 juta telah diperuntukkan untuk program ini. Ini adalah peruntukan tertinggi sejak usaha bantuan sekolah dimulakan pada tahun 2009. Bagi tahun ini, peruntukan telah disalurkan kepada 989 buah sekolah yang telah diluluskan permohonannya. Sebanyak 6 kategori sekolah yang diberikan bantuan mengikut pecahan seperti berikut:

    BIL. JENIS SEKOLAH PERUNTUKAN
    1. Sekolah Agama Rakyat RM11,000,000.00
    2. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina RM6,000,000.00
    3. Sekolah Menengah Persendirian Cina RM2,000,000.00
    4. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil RM5,000,000.00
    5. Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan RM1,000,000.00
    6. Sekolah Kebangsaan/ Sekolah Menengah Kebangsaan RM1,500,000.00

    JUMLAH

    RM26,500,000.00
  3. Nyatakan dan senaraikan jumlah terperinci pecahan peruntukan setiap sekolah SAR (berapa buah sekolah), SJKC (berapa buah sekolah), SJKT (berapa buah sekolah), SEK.MUBALIGH (berapa buah sekolah), SMJK (berapa buah), SK. (Berapa buah) SMK (berapa buah) dan SMPC (berapa buah)?

    Pada tahun 2023,  pecahan peruntukan yang diterima oleh Sekolah Agama Rakyat  (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh/ Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Kebangsaan/ Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Persendirian Cina adalah seperti berikut:

     

    BIL. JENIS SEKOLAH PERUNTUKAN YANG DISALURKAN

    JUMLAH SEKOLAH

    1. Sekolah Agama Rakyat RM10,770,000.00

    457

    2. Sekolah Jenis Kebangsaan Cina RM6,000,000.00

    113

    3. Sekolah Menengah Persendirian Cina RM2,000,000.00

    4

    4. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil RM5,000,000.00

    98

    5. Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan RM1,000,000.00

    29

    6. Sekolah Kebangsaan/ Sekolah Menengah Kebangsaan RM1,500,000.00

    288

    JUMLAH

    RM26,270,000.00

    989

Lampiran

Tiada Lampiran.