Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

24) PERJANJIAN JUAL BELI DAN LAPORAN PENILAIAN BERKENAAN URUSNIAGA TANAH PKNS DI BROGA, SEMENYIH

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Cheong Kian Young

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila sediakan laporan perjanjian jual beli dan laporan penilaian tanah di Broga, Semenyih.

    Perjanjian Jual Beli bagi penjualan tanah PKNS di Broga telah ditandatangani diantara PKNS dan Sutera Maya Resources Sdn Bhd pada 20 Oktober 2023 bagi sebahagian tanah pertanian yang berukuran 665.89 ekar / 2.69 juta meter persegi dikenali sebagai Pajakan Negeri Hakmilik No. 108951, Lot 41864, Mukim Semenyih, Daerah Ulu Langat, Selangor.

    Hartanah tersebut dijual secara Master Title dan harga jualan adalah sebanyak RM195,211,513.33 seperti kaedah bayaran berikut:-

    • (i) 2% dijelaskan dalam masa 7 hari dari surat tawaran
    • (ii) 8% dijelaskan dalam tempoh 30 hari dari tarikh Perjanjian Jual Beli
    • (iii) 90% dijelaskan selewatnya pada 23 Disember 2023 dengan lanjutan tempoh 30 hari tertakluk kepada persetujuan pihak-pihak.

    Hartanah ini dijual dalam keadaan sedia ada dan Pembeli diberi Surat Kuasa Wakil untuk membuat pengusiran setinggan dan penceroboh termasuk kuil yang berada di hartanah tersebut dengan kos ditanggung oleh Pembeli. Caj pengurusan sebanyak 5% dikenakan ke atas Pembeli sekiranya gagal menjelaskan harga jualan dalam tempoh yang ditetapkan.  Pada masa ini bayaran penuh hartanah telah dijelaskan sepenuhnya oleh pihak Pembeli.

     

    Laporan penilaian hartanah telah dijalankan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH) pada 01 Jun 2022 dengan nilaian RM100.00 semeter persegi. Proses jualan dibuat secara pengiklanan pada 18 dan 19 Mei 2023   serta menjemput semua pihak yang mengemukakan surat tunjuk minat terhadap hartanah tersebut seterusnya pemilihan pembeli adalah berdasarkan nilai tawaran yang tertinggi.

  2. Adakah laporan ini telah dinilai dan diaudit oleh Agensi luar?

    Jual beli tanah ini juga telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara untuk Penyata Kewangan PKNS bagi tempoh berakhir 31 Disember 2023.

Lampiran

Tiada Lampiran.