Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

295) PELEPASAN KARBON LOJI TENAGA HIJAU SULTAN IDRIS SHAH (SISGE)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rasional di sebalik Kerajaan Negeri meluluskan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGE) dalam Belanjawan Selangor 2024 yang berpotensi membebaskan karbon dioksida sehingga 4,080 tan sehari?

    Kerajaan Negeri telah meluluskan secara dasar cadangan pembangunan Loji Tenaga Hijau Sultan Idris Shah (SISGE) pada bulan November 2022. Loji SISGE pada ketika ini sedang melalui proses Penilaian Impak Alam Sekitar atau Environmental Impact Assessment (EIA) yang dikendalikan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Loji SISGE ini perlu memenuhi semua piawaian alam sekitar yang ditentukan oleh JAS. Ini adalah antara sebab kenapa Kerajaan Negeri bersetuju untuk menjadikan projek ini antara projek di bawah Belanjawan 2024.

    Sebagai tambahan, pihak KDEB Waste Management Sdn. Bhd. juga telah memperolehi hasil analisis yang telah dilaksanakan oleh perunding yang bertauliah yang mendapati bahawa anggaran jumlah emisi karbon dioksida bagi loji SISGE yang berkapasiti maksimum 2,400 tan sampah sehari ini ialah 605.8 tan sahaja, iaitu 6.75 kali lebih rendah dari jumlah yang didakwa.

    Pembinaan loji SISGE ini adalah penting bagi memastikan pengurusan sisa pepejal adalah lebih mampan, tenaga yang boleh diperbaharui dapat dihasilkan serta kebergantungan kepada tapak pelupusan sampah yang memerlukan tanah yang luas dapat dikurangkan. Loji Waste To Energy (WtE) adalah kaedah pengurusan sampah yang berkesan sebagaimana yang dibuktikan oleh negara-negara maju antaranya seperti di Eropah, Jepun dan Singapura.

  2. Tidakkah inisiatif ini bertentangan dengan visi mengurangkan 40% pelepasan karbon menjelang 2030?

    Takrifan Potensi Pemanasan Global atau Global Warming Potential (GWP) di dalam konteks kadar emisi adalah luas dan tidak merujuk secara eksklusif kepada aspek pelepasan karbon dioksida (CO2) daripada pembangunan loji WtE semata-mata. Hakikatnya, kadar emisi yang disebutkan dalam konteks GWP turut merangkumi gas metana dan gas-gas lain yang mengandungi unsur karbon dalam rantai kimia.

    Andaian bahawa loji WtE akan menatijahkan pelepasan karbon yang tinggi dan bertentangan dengan visi mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon menjelang 2030 adalah satu paradoks yang perlu dibuktikan secara saintifik dan mesti disokong dengan data-data empirikal.

    Menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa atau International Renewable Energy Agency (IRENA), Loji WtE merupakan alternatif yang lebih cepat dan bersih untuk melupuskan sampah berbanding kaedah pelupusan sisa domestik konvensional di tapak pelupusan atau landfill. Loji WtE mempunyai sistem rawatan gas yang menapis dan meneutralkan gas dengan efektif. Sistem-sistem ini menyingkirkan bahan-bahan berbahaya seperti dioksin, furan, dan logam berat yang dihasilkan semasa pembakaran. Gas-gas ini akan dineutralkan terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke udara sekaligus mengurangkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar. Pelepasan gas-gas ini akan dipantau dengan ketat oleh Jabatan Alam Sekitar.

    Sebaliknya, tapak pelupusan lebih mencemarkan alam sekitar. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Strategik dan Antarabangsa atau Center for Strategic and International Studies (CSIS), selain mengeluarkan karbon dioksida, tapak pelupusan juga melepaskan gas metana yang 25 kali lebih berbahaya kepada alam sekitar daripada karbon dioksida. Tapak pelupusan juga berisiko mencemarkan sumber air bawah tanah dan menyebabkan pencemaran jangka panjang dibandingkan dengan mikroplastik.

    Justeru, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa pembangunan loji WtE ini tidak bertentangan dengan visi mengurangkan 40 peratus pelepasan karbon menjelang 2030 sebaliknya akan turut menyumbang dalam menjayakan visi ini kerana loji WtE dapat menjana tenaga elektrik yang diperbaharui bersumberkan sampah sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan bahan api fosil yang merupakan sumber utama pelepasan karbon.

Lampiran

Tiada Lampiran.