Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

186) PROGRAM TUISYEN RAKYAT SELANGOR (PTRS)

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana pelajar dan berapa pelajar manfaat dalam Program Tuisyen Rakyat Selangor?

    Pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) ini pada awalnya merupakan salah satu program pendidikan yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri Selangor bermula pada tahun 2009 yang memberi impak yang sangat besar kepada pelajar-pelajar yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setiap tahun. PTRS merupakan bantuan pendidikan berbentuk kelas tambahan (tuisyen) kepada para pelajar yang memperoleh keputusan yang sederhana atau lemah dalam pelajaran khususnya untuk mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan RM2,000.00 dan ke bawah.

    Pada tahun 2019, program ini diteruskan dan ditambah baik oleh Kerajaan Negeri Selangor serta diurus sepenuhnya oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi memastikan modul, penyampaian dan pelaksanaannya dapat diperhalusi serta diselaraskan dengan sebaiknya manakala MBI bertindak sebagai penyumbang dana.

    Pada tahun 2021, pelaksanaan PTRS adalah secara hybrid, iaitu fizikal dan dalam talian. Program ini dilaksanakan melalui laman web ePTRS.my yang memfokuskan kepada pelajar calon SPM dan Tahun 6.

    Pelaksanaan PTRS ditambah baik pada tahun 2022 dengan pendigitalan sistem pentadbiran PTRS (admin@ptrs) bagi memudahkan proses memantau, menyemak dan mengesahkan tuntutan serta penyediaan laporan yang lebih sistematik.

    MBI bertindak sebagai penganjur utama dan penaja keseluruhan program bermula pada tahun 2023 dengan kerjasama daripada JPN Selangor serta menyasarkan kesemua 65,000 pelajar SPM daripada 277 buah sekolah menengah di Selangor yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Menengah (SAM), Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) dengan had pendapatan sebulan ibu bapa adalah RM5,000.00 dan ke bawah. Satu mata pelajaran baru juga telah diperkenalkan dalam modul PTRS, iaitu Matematik Tambahan menjadikan kesemua mata pelajaran yang berada di bawah PTRS adalah enam (6) mata pelajaran termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.

  2. Berapakah peruntukan telah digunakan untuk tujuan perlaksanaan?

    Bajet berjumlah RM7 juta telah diperuntukkan untuk PTRS pada tahun 2023 dan RM10 juta diperuntukkan untuk tahun 2024.

  3. Apakah penambahbaikan akan dilaksanakan oleh kerajaan bagi program ini?

    Pada tahun 2024, penerima manfaat tidak tertumpu untuk pelajar SPM sahaja bahkan akan diperluaskan untuk pelajar Tingkatan 4 dengan anggaran jumlah keseluruhan pelajar SPM dan pelajar Tingkatan 4 di Selangor adalah seramai 130 ribu pelajar. MBI juga bercadang untuk melihat program intervensi bagi murid-murid di sekolah rendah yang mengalami masalah 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) disebabkan oleh gangguan waktu persekolahan ketika era pandemik.

    Selain itu, aplikasi mudah alih PTRS (Mobile Apps) bakal diperkenalkan bagi memastikan capaian bahan PTRS lebih terbuka dan mudah diakses kepada golongan sasaran (pelajar). Satu platfrom yang berorentasikan aplikasi mudah alih akan disediakan melalui peranti mudah alih Android dan IOS.

    Bagi menambah baik portal ePTRS sedia ada, video langsung (live video) juga turut diperkenalkan. Video langsung ini merupakan salah satu pendekatan dalam talian yang mampu melakukan komunikasi dua hala. Ia juga dapat membantu dan memudahkan interaksi secara terus antara tenaga pengajar dan golongan sasaran (pelajar). Portal ini boleh diakses dengan melayari www.eptrs.com.my.

Lampiran

Tiada Lampiran.