Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

283) PENGANGKUTAN AWAM

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah strategi Kerajaan Negeri untuk mengatasi kesesakan lalulintas di Bandar-bandar utama Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa memastikan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam direncanakan sebaik mungkin demi menjaga keselamatan dan keharmonian rakyat. Atas dasar kepedulian kepada rakyat, Kerajaan Negeri telah mengesyorkan nisbah minima pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan persendirian ialah 60:40 dengan mencadangkan lebih banyak pembangunan infrastruktur pengangkutan awam diberi keutamaan selaras dengan rancangan untuk menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama berbanding kenderaan persendirian di Negeri

     

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri sedang menjalankan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam yang mana ianya pelaksanaan kajian dijalankan secara lebih menyeluruh serta merangkumi aspek-aspek sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalan raya dan lalu lintas yang akan membantu memperbaiki sistem pengurusan trafik di Negeri Selangor. Melalui kajian tersebut, Kerajaan Negeri Selangor boleh membuat pertimbangan terperinci antara keperluan pembangunan lebuhraya, jalanraya ataupun pembangunan pengangkutan awam.

     

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga komited bagi membantu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam melalui penyediaan perkhidmatan bas secara percuma ‘Bas Selangorku’ kepada komuniti di MBSA, MPSJ dan MPK yang telah pun dilancarkan pada Julai 2015 yang lalu. Perkhidmatan ini juga akan diperluaskan lagi di kawasan MPAJ dan MPKj. Pelaksanaan ini telah dirangka dengan mengambilkira aspek-aspek seperti pemilihan laluan di kawasan berkepadatan tinggi untuk disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah, keutamaan laluan adalah di kawasan yang tiada perkhidmatan bas sedia ada, manakala lokasi tumpuan adalah seperti pusat membeli belah, pejabat-pejabat kerajaan dan kemudahan awam.

     

    Selain dari itu, setiap PBT sentiasa bersedia dalam menangani masalah kesesakan rangkaian jalanraya setempat kesan dari kepesatan pembangunan

     

    dengan menyediakan Laporan Kajian Lalulintas secara menyeluruh bagi kawasan di bawah pentadbiran masing-masing. Sebagai contoh, pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah menyediakan kajian dengan jangkamasa sehingga tahun 2030 dengan mengambil kira perkara-perkara seperti berikut:

     

    1. Analisis Trafik
    2. Penilaian Kesan Trafik
    • Impak Lalulintas Mikro
    1. Sirkulasi Trafik
  2. Apakah Kerajaan Negeri akan membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu di Shah Alam?

    Seperti yang telah dinyatakan, Kajian Pelan Induk Pengangkutan Awam sedang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri. Oleh yang demikian, sebarang pertimbangan yang lebih terperinci berkaitan pembangunan pengangkutan awam akan dibuat berdasarkan dapatan dan hasil kajian

Lampiran

Tiada Lampiran.