Yang Berhormat Tuan Hasnul bin Baharuddin, Ahli Dewan Negeri Kawasan Morib dilantik Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor baharu

Shah Alam, 13 Julai: Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor hari ini dimulakan dengan pelantikan Yang Berhormat Tuan Hasnul bin Baharuddin sebagai Timbalan Speaker yang baharu. Beliau dilantik  sebagai Timbalan Speaker baharu Dewan Negeri Selangor bagi menggantikan Yang Berhormat Dr Daroyah binti Alwi, Ahli Dewan Negeri Kawasan Sementa.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Negeri Kawasan Morib merupakan anak kelahiran Selangor dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM). Di Dewan Negeri Selangor, beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) Dewan Negeri Selangor sejak tahun 2018.

Dewan Negeri Selangor telah menerima hanya satu pencalonan bagi calon Timbalan Speaker, iaitu Yang Berhormat Tuan Hasnul bin Baharuddin pada tempoh pencalonan yang telah berakhir pada 5 Julai 2020 yang lalu.

Usul pelantikan beliau sebagai Timbalan Speaker telah dikemukakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Amirudin bin Shari dan disokong oleh Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) merangkap Ahli Dewan Negeri Kawasan Bandar Baru Klang.

Proses pelantikan beliau sebagai Timbalan Speaker berjalan lancar dengan persetujuan kesemua Ahli Dewan Negeri Selangor yang hadir.