[Utusan Malaysia] Sidang DUN Selangor: Sekuriti makanan Selangor masih rendah

Shah Alam: Sekuriti makanan di negeri ini berada pada tahap rendah, dilihat menerusi pengeluaran makanan termasuk sayur-sayuran dan daging yang masih lagi di bawah 10 peratus.

Perkara itu diakui kerajaan negeri apabila pengeluaran bahan makanan seperti daging lembu dan kambing serta sayur-sayuran seperti halia dan cili masing-masing berada pada tahap 3.8 hingga 9.1 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim berkata, pihaknya akan melakukan kajian bagi mengurangkan kos pengeluaran seperti kos makanan untuk meningkatkan pengeluaran dan dalam masa sama membolehkan penternak peroleh keuntungan tinggi.

“Melalui indikator ini, kadar sara diri negeri ini masih rendah. Justeru, beberapa langkah sedang diambil. Kita juga akan meningkatkan pengeluaran biji benih tanaman, baka ternakan dan akuakultur,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berhubung langkah kerajaan negeri dalam memenuhi Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025.

Izham menambah, kerajaan negeri mengaplikasikan Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) merangkumi lima dasar utama, antaranya pengenalan Smart Selangor Agro Park (SSAP) dan Smart Selangor Agro Farm (SSAF).

Dalam pada itu beliau yang juga ADUN Pandan Indah memaklumkan, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bakal membangunkan projek ternakan ayam daging di Ulu Bernam, Hulu Selangor dalam masa terdekat.

Menurutnya, pembinaan projek itu dapat meningkatkan pengeluaran ayam sebanyak 300,000 ekor setiap kitaran.

“Satu kitaran tuaian adalah selama 35 hari dan dalam setahun, projek ini mampu menuai ayam sebanyak enam kali pusingan. (Sekiranya dibangunkan), jumlah pengeluaran ayam oleh PKPS dapat meningkat sebanyak 800,000 ekor, berbanding 500,000 ekor sebelum ini pada setiap kitaran,” katanya. – UTUSAN

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/sidang-dun-sekuriti-makanan-selangor-masih-rendah/