[Utusan Malaysia] Pertanian Selangor naik 3 peratus sejak 2015 walaupun ketika pandemik

Shah Alam: Industri pertanian di negeri ini meningkat pada kadar tiga peratus setahun bagi tempoh 2015 hingga 2020, malah marginal pada 2020 dilapor berlaku peningkatan kepada RM4.72 bilion berbanding RM4.71 bilion pada 2019 walaupun negara dihambat pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan tersebut didukung komitmen kerajaan negeri selepas memberikan peruntukan khusus sejak Belanjawan Selangor 2021 termasuk inisiatif tanaman nilai tinggi dan penggunaan Internet Kebendaan (IoT).

“Komitmen tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM24.6 juta.

“Kerajaan negeri juga akan melancarkan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG) yang bertindak sebagai koridor pembangunan ekonomi dengan meliputi kawasan seluas 27,960 hektar di sekitar Sungai Klang berserta anggaran pelaburan sebanyak RM2.2 bilion,” katanya ketika membentangkan usul Rancangan Selangor Pertama (RS1) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pada itu, menerusi RS1 kerajaan negeri mengenal pasti sembilan sektor tumpuan berdasarkan sumbangan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berpotensi melonjakkan kedudukan ekonomi Selangor sebagai ‘economic powerhouse‘ di samping menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

Jelas Amirudin, usaha itu secara tidak langsung dapat memperkukuh status Selangor sebagai pusat pembangunan ekonomi dan destinasi utama untuk pelaburan strategik di negara ini dan di rantau Asia.

“RS-1 mengenal pasti beberapa wilayah yang akan dibangunkan melalui rancangan pembangunan berasaskan pelan pembangunan wilayah yang merupakan tambahan kepada sembilan sektor tumpuan tersebut.

“Pelan Pembangunan Wilayah ini termasuk Pembangunan Serantau Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Zon Pembangunan Ekonomi Selangor Maritime Gateway (ZPE SMG),” jelasnya.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/pertanian-selangor-naik-3-peratus-sejak-2015-walaupun-ketika-pandemik/