Tiga Penyata Jawatankuasa Pilihan / Pilihan Khas Dibentang di Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Dewan Negeri Selangor

Shah Alam, 17 Mac: Dewan Negeri Selangor terus bergerak aktif sebagai badan legislatif terunggul apabila berjaya membentangkan tiga lagi Penyata Jawatankuasa Pilihan / Pilihan Khas di Dewan Negeri Selangor yang bersidang hari ini.

Ketiga-tiga Penyata Jawatankuasa Pilihan / Pilihan Khas tersebut terdiri daripada dua Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan (JPK-Pembasmian Kemiskinan) yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Rajiv A/L Rishyakaran dan satu Penyata Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) yang dipengerusikan oleh Yang Berhormat Tuan Lau Weng San.

Ketiga-tiga Penyata Jawatankuasa tersebut dilihat menyentuh aspek-aspek yang penting dalam memberi cadangan penambahbaikan kepada Pentadbiran Eksekutif Kerajaan Negeri:

  1. Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan Berhubung Tahap Kemahiran Kebolehkerjaan Dan Kemahiran Teknikal Yang Mampu Meningkatkan Pendapatan Rakyat Di Negeri Selangor
  2. Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan Mengenai Usaha Kerajaan Dalam Meningkatkan Tahap Literasi Pengurusan Kewangan
  3. Penyata Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah Dan Tanah Mengenai Kerjasama Di Antara Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) Dan Malaysia Space Agency (MYSA) Untuk Tujuan Pemantauan Dan Penguatkuasaan

Usul bagi Penyata bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Pembasmian Kemiskinan masing-masing telah diusulkan oleh Yang Berhormat Tuan Edry Faizal bin Eddy Yusof (Ahli Dewan Negeri Kawasan Dusun Tua) dan Yang Berhormat Tuan Chua Wei Kiat (Ahli Dewan Negeri Kawasan Rawang). Usul bagi Penyata Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) telah dibawa sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT), Yang Berhormat Tuan Lau Weng San (Ahli Dewan Negeri Kawasan Banting).

Ketiga-tiga Penyata tersebut telah diluluskan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Negeri Selangor yang bersidang dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Tahun 2020. Maklumbalas Kerajaan akan dikemukakan kepada Dewan pada Mesyuarat Persidangan Kedua akan datang.