[Sinar Harian] Bentang RUU benar prosiding Mahkamah Syariah menerusi jarak jauh

Shah Alam – Kerajaan negeri membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang membentangkan enakmen itu berkata, pindaan tersebut dibuat bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh.

Menurutnya, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) ketika ini menghadapi kekangan prosiding mahkamah secara fizikal disebabkan penularan Covid-19 sehingga menyebabkan kes tertangguh.

“Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003 dan Tatacara Mal tidak memperuntukkan secara khusus berhubung kuasa Mahkamah Syariah untuk jalankan prosiding termasuk perbicaraan, sebutan, pengurusan kes, majlis sulh, pentadbiran, wakalah dan afidavit teknologi jarak jauh.

“Oleh demikian, pindaan dibuat kepada undang-undang sedia ada bagi mewujudkan peruntukan yang memberi kuasa mahkamah syariah untuk jalankan prosiding kes menerusi teknologi jarak jauh,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi dalam persidangan DUN Selangor berkata, pindaan RUU itu diluluskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang bersidang pada 25 Januari lalu untuk dipersembah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambahnya, RUU dipersembah dan diperkenan Sultan Selangor pada 7 April selaras dengan Subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Baginda bersetuju dan berkenan RUU itu dibentang dalam sidang DUN Selangor pada kali ini.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/213020/EDISI/Bentang-RUU-benar-prosiding-Mahkamah-Syariah-menerusi-jarak-jauh