Selcat ragui ketelusan Selangor laksana Akta Kebebasan Maklumat.

SELCAT RAGUI KETULUSAN SELANGOR LAKSANA KEBEBASAN MAKLUMAT

 

27 JANUARI 2015

Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) mempersoalkan ketelusan kerajaan Selangor melaksanakan Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) 2011 terutamanya melibatkan perjanjian kontroversi termasuk memorandum persefahaman (MoU) air, Lebuhraya Damansara Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex), kata Hannah Yeoh.

Pengerusi Selcat itu berkata, wujud beberapa kelamahan dan halangan utama dalam proses penyaluran maklumat lengkap kepada pemohon, iaitu kesukaran mendapat kebenaran serta maklum balas daripada ‘pihak ketiga’.

Katanya, kompetensi kerajaan negeri dalam mengamalkan FOI masih belum memenuhi matlamat yang disasarkan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat (PR).

“Perlu kaji semua kelemahan untuk jadi lebih berkesan dan pada masa sama maklumat daripada pihak ketiga tidak disalah guna,” katanya pada sidang media di Bangunan Annexe di Shah Alam, hari ini.

Yeoh berkata, kelemahan itu menyebabkan masyarakat awam sangsi keikhlasan kerajaan negeri melaksanakan FOI kerana proses permohonan maklum balas memakan masa panjang melebihi tempoh 30 hari.

“Orang luar tanya sama ada kerajaan negeri ikhlas laksanakan enakmen ini terutama membabitkan isu besar seperti Perjanjian Persefahaman (MoU) Penstrukturan Industri Air, Lebuhraya Kinrara- Damansara dan Lebuhraya Damansara- Shah Alam.

“Pemohon kecewa kerana tidak memperoleh maklumat seperti diminta ekoran kegagalan mendapatkan kebenaran daripada pihak ketiga.

“Lebih 30 hari dan adakalanya memakan masa berbulan-bulan baru pemohon dapat maklum balas namun bukanlah jawapan seperti diinginkan,” katanya.

Pada masa sama, kebimbangan timbul jika pendedahan melalui FOI disalah guna untuk kepentingan tertentu dan dibuat tanpa kawalan.

“Oleh itu, pegawai maklumat perlu diberikan lebih latihan agar informasi yang dikeluarkan selamat namun pada masa sama prinsip kebebasan efektif,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya itu berkata, Selcat akan mengkaji kelemahan itu dan akan membentangkan saranan dalam sesi DUN pada Mac akan datang.

Saranan itu katanya termasuk cadangan pindaan enakmen FOI supaya menjadi lebih efektif.

Selain Hannah, dan enam jawatankuasa Selcat adalah ‎Adun Taman Medan Haniza Talha, Saari Sungip (Hulu Kelang), Ng Suee Lim (Sekinchan), Sulaiman Razak (Permatang), Shafie Ngah (Bangi), dan Dr Xavier Jayakumar (Andalas). – 27 Januari, 2015.

Read more