[Selangorkini] Rancangan Selangor Satu dibentang Isnin, rakyat diajak ikuti penerangan MB

Petaling Jaya, 20 Julai: Rakyat diseru mengikuti penerangan Dato’ Menteri Besar berkenaan Rancangan Selangor Satu (RS-1) pada Isnin ini bagi mengetahui agenda kebajikan rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan Simposium Pra-Pelancaran Rancangan Selangor Pertama (RS-1) 2021-2025 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 7 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata pembentangan pada hari pertama Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) merupakan tindakan pembangunan Kerajaan Selangor selepas mendapat maklum balas pelbagai pihak.

“Sudah pelbagai progran dan insentif dirancang, jadi sekarang tibalah masa untuk tindakan dibuat. Kita kena mulakan apa yang dirancang termasuk mengambil kira pandangan rakyat.

“RS-1 merupakan tindakan yang baik, jadi rakyat kena dengar semua penerangan pada Isnin ini,” katanya selepas meninjau projek penggantian pembentung di Bandar Puchong Jaya, di sini, semalam.

Pelan bersandarkan keperluan sosiekonomi rakyat sebagai agenda penting, Kerajaan Negeri mengambil kira aspek pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kesejahteraan hidup serta keterangkuman sosial.

“Pembangunan dokumen RS-1 dibuat secara komprehensif dan terangkum, bersifat ‘living document’ yang mampu menangani cabaran baharu,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 Julai.

Turut ditekankan ialah pemacuan kelestarian bagi memulihara alam sekitar selain tadbir urus pintar serta berkesan dengan libat urus bersama pemegang taruh juga orang awam.

Liputan berita pembentangan pelan tersebut boleh dibaca melalui akhbar dan portal Selangorkini serta tiga edisi lain, termasuk Mandarin, Tamil dan Inggeris.

Ia juga bakal disiarkan secara langsung melalui saluran SelangorTV dan Facebook Media Selangor.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/07/rancangan-selangor-satu-dibentang-isnin-rakyat-diajak-ikuti-penerangan-mb/