[Selangorkini] Tiga beradik hilang ibu akibat digilis lori dibantu ADN Pandan Indah

Shah Alam, 3 Feb: Nasib tiga beradik yang kehilangan ibu kandung akibat digilis lori tiga tan di Lebuhraya Sungai Besi minggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah.

Ir Izham Hashim bersama kakitangan pusat khidmat masyarakat menziarahi keluarga mangsa di Flat Taman Bakti, Pandan Indah sejurus dimaklumkan kejadian tersebut.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau berkata ketiga-tiga beradik itu masih bersekolah dan menetap bersama nenek yang uzur sementara menuggu bapa mereka mendapat hak penjagaan di mahkamah.

“Insya-Allah, saya akan membantu keluarga ini mendapatkan rumah yang lebih selesa memandangkan bapa kandung mereka kini mempunyai keluarga lain dan berpendapatan rendah,” katanya.

Ir Izham yang juga EXCO Kerajaan Negeri turut menyerahkan bantuan tunai dan barangan keperluan asas bagi meringankan beban mereka sekeluarga.

“Semoga mereka dipermudahkan urusan, mendapat rahmat dari Allah SWT dan semoga roh ibu mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya.

Mangsa Wan Nurfarahin Mohd Radzi, yang juga ketua jururawat pergigian hospital swasta dilaporkan terjatuh apabila motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah lori tiga tan sebelum digilis.

Menurut laporan media, pemandu lori terbabit mendakwa tidak sedar telah melanggar dan menggilis mangsa dalam kejadian di Lebuhraya Sungai Besi.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/02/tiga-beradik-hilang-ibu-akibat-digilis-lori-dibantu-adn-pandan-indah/