[Selangorkini] Sultan sukacita hasil negeri tertinggi dalam enam tahun, atasi sasaran awal

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Annex pada 13 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Shah Alam, 13 Mac: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sukacita berikutan hasil negeri pada tahun lalu tertinggi dalam tempoh enam tahun.

Baginda bertitah kutipan yang merekod angka RM2.533 bilion juga melebihi sasaran awal RM2.05 bilion, lebih tinggi berbanding angka pada tahun sebelumnya iaitu RM2.284 bilion.

“Beta menzahirkan rasa syukur dengan prestasi kewangan semasa Kerajaan Beta. Beta dimaklumkan 2022 tahun cemerlang bagi Selangor dan turut menjadi penyumbang terbesar Keluaran Negara Kasar (KDNK) iaitu 24.8 peratus.

“Beta turut berbangga apabila pertumbuhan ekonomi Selangor pada 2021 mencatat lima peratus mengatasi pertumbuhan ekonomi nasional iaitu 3.1 peratus,” titah Baginda sempena istiadat pembukaan Dewan Negeri Selangor ke-14 hari ini.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan kepada pentadbiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang berjaya mengemudi negeri dengan semangat ‘Kita Selangor’.

Baginda turut mengingatkan pentadbiran Kerajaan Negeri supaya sentiasa memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.

“Beta mengambil maklum prestasi pelaburan dari Januari hingga September 2022 yang merekodkan nilai pelaburan berjumlah RM9.7 bilion melibatkan 199 projek perkilangan.

“Daripada jumlah ini, RM3.58 bilion daripada pelaburan tempatan manakala RM6.12 bilion pelabur asing. Sebanyak 11,601 potensi peluang pekerjaan berjaya diwujudkan melalui projek perkilangan yang diluluskan,” titah Baginda.

Sumber: https://selangorkini.my/2023/03/sultan-sukacita-hasil-negeri-tertinggi-dalam-enam-tahun-atasi-sasaran-awal/