[Selangorkini] Speaker: Junjung titah sultan fokus isu rakyat, kurangkan politik

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor (DNS) Keempat Belas Tahun 2022 di Bangunan Annex pada 14 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Shah Alam, 14 Mac: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berharap wakil rakyat menumpukan isu di kawasan masing-masing serta mengurangkan bicara politik selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.

Ng Suee Lim berkata beliau memandang serius titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mengingatkan wakil rakyat supaya menumpukan usaha dan tanggungjawab dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Sebagai speaker, saya mengingatkan wakil rakyat kerajaan mahupun pembangkang menjunjung kasih titah tuanku dengan memfokus kawasan masing-masing dalam memastikan kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat terpelihara.

“Sekiranya terlalu berpolitik dan bercakap isu parti, akhirnya kepentingan rakyat diabaikan. Rakyat ketika ini mengharap bantuan dan keprihatinan wakil rakyat kerana berada dalam keadaan ekonomi mencabar,” katanya.

Beliau ditemui selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima DNS ke-14 di Bangunan Annex di sini hari ini.

Terdahulu, baginda bertitah dalam istiadat pembukaan DNS mengingatkan wakil rakyat menumpukan usaha dan tanggungjawab untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di kawasan masing-masing seterusnya dapat membangunkan ekonomi serta memakmurkan negeri.

Tuanku mengingatkan wakil rakyat tidak menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat.

Sultan Selangor turut bertitah wakil rakyat dapat berbahas dengan berhemah, memberi topik perbahasan yang bernas dan mengemukakan cadangan penyelesaian yang tepat demi kesejahteraan rakyat.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/03/speaker-junjung-titah-sultan-fokus-isu-rakyat-kurangkan-politik/