[Selangorkini] Keluarga kurang berkemampuan DUN Hulu Kelang terima bantuan wang tunai, barang keperluan

Shah Alam, 5 Jan: Enam keluarga kurang berkemampuan di Pangsapuri Ukay Indah menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian yang disampaikan wakil rakyat Hulu Kelang.

Menurut Saari Sungib, kunjungan Selasa lalu itu diadakan bagi menyantuni pengundi Hulu Kelang di kawasan Bukit Antarabangsa.

“Kita ingin santuni pengundi kawasan Hulu Kelang yang tinggal di kawasan DUN Bukit Antarabangsa,” katanya yang menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan asas kepada keluarga itu yang kebanyakannya menghadapi penyakit kronik.

Salah seorang penerima Noor Hafieq Shamsudin, 38, berterima kasih atas lawatan wakil rakyat dan sumbangan yang diterima.

“Saya sangat bersyukur, selain bantuan daripada agensi zakat (Lembaga Zakat Selangor), wakil rakyat juga sudi menjenguk keadaan kami,” katanya.

Bagi Mohamad Zul Mohd Subramanian, 40, dia terharu dengan kedatangan wakil rakyat itu yang turut menghulurkan bantuan khususnya perbelanjaan sekolah anak serta makanan.

“Saya baru selesai rawatan di hospital dan beras juga sudah habis, dengan sumbangan ini saya dapat beli makanan dan perbelanjaan sekolah anak,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Ukay Indah (PPTUI), Norliza Bohari berkata persatuan turut mengadakan tabung sumbangan bagi keluarga yang memerlukan selain beberapa siri lawatan juga telah diadakan sebelum ini.

“Sebelum ini, memang ada datang (melawat) dan ada buat tabung untuk sumbangan daripada pihak luar seperti persatuan kebajikan dan orang persendirian,” katanya.

Oleh: Shamz Johan

Sumber: https://selangorkini.my/2023/01/keluarga-kurang-berkemampuan-dun-hulu-kelang-terima-bantuan-wang-tunai-barang-keperluan/