[Selangorkini] Deposit pembangunan tanah turun 50 peratus, galak syarikat melabur

Shah Alam, 6 Disember: Kerajaan Negeri menurunkan deposit tanah sebanyak 50 peratus kepada syarikat yang ingin melabur pada tahun hadapan.Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil selepas kadar deposit 150 peratus yang ditetapkan sebelum ini membebankan pelabur.

“Dasar yang dikemukan sebelum ini membebankan pelabur antaranya adalah bayaran deposit, deposit mereka (pelabur) perlu dibayar 150 peratus berbanding kadar yang ditetapkan dalam kaedah tanah-tanah Selangor.

“Kali ini untuk 2022, kita letakkan deposit 100 peratus sahaja maknannya pada paras kadar penilaian yang diberikan JPPH (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta) dan juga kaedah tanah Selangor supaya bebanan mereka dikurangkan dan segera melabur,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin mengenai Dasar Kelulusan 100 hari sama ada Kerajaan Negeri mempertimbang syarat yang lebih fleksibel pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Pada 3 Disember tahun lalu, Amirudin berkata dasar Kelulusan 100 Hari yang dilaksanakan sejak Januari berjaya menarik nilai pembangunan RM216 juta.

Beliau memaklumkan dasar berkaitan proses kebenaran merancang dan urusan pembangunan tanah yang dikurangkan kepada 100 hari berbanding 270 hari dilihat lebih mesra pelabur.

Dasar tersebut akan diteruskan serta ditambah baik untuk merancakkan pembangunan serta pemulihan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Bermula Januari 2020, Kerajaan Negeri menguat kuasa serta merta Dasar Kelulusan 100 hari bagi proses pembangunan tanah membabitkan kebenaran merancang, pelan bangunan dan pelan infrastruktur.

Pengurangan tempoh tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor mengikut Mekanisme Pembayaran Deposit Premium ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/deposit-pembangunan-tanah-turun-50-peratus-galak-syarikat-melabur/