[Selangorkini] Banjir kilat: Lebih 1,000 penduduk DUN Pelabuhan Klang dipindahkan

Shah Alam, 18 Dis: Seramai 1,130 mangsa banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 2.30 pagi.

Wakil rakyat Azmizam Zaman Huri berkata 400 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Telok Gong, Masjid Al-Islah Kampung Nelayan Telok Gong (300) dan Masjid Al-Ubudiah Kampung Telok Gong (70).

Seramai 40 orang di tempatkan di Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Telok Gong, SRA Pulau Indah (100), Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Indah (150) dan Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Perigi Nenas, Pulau Indah (70).

“Pihak Bomba masih lagi membantu memindahkan mangsa banjir dari rumah mereka yang terjejas ke pusat pemindahan berdekatan,” katanya.

Azmizam berkata mereka yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir boleh menghubungi pejabatnya di talian 017-2434200.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata lebih 800 mangsa banjir dari Kampung Johan Setia ditempatkan di PPS setakat ini.

“Di Sungai Kandis kawasan paling teruk di Kampung Johan Setia, ada juga beberapa penempatan terjejas tetapi jumlah mangsa tidak seramai di sana.

“Kita masih memantau keadaan untuk menghulurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas,” katanya.

Semalam, bomba melaporkan sebanyak 20 kawasan di Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan dengan kawasan Telok Gong antara yang paling terkesan.

Sumber: https://selangorkini.my/2021/12/banjir-kilat-lebih-1000-penduduk-dun-pelabuhan-klang-dipindahkan/