[Selangorkini] ADN Seri Kembangan: Hampir RM7,000 diperuntuk bantu 23 mangsa bah

Shah Alam, 19 Dis : Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan memperuntukkan sejumlah RM6,900 bagi membantu mangsa banjir kilat di Pangsapuri Taman Harmoni Bukit Belimbing, Balakong.

Wakil rakyat Ean Yong Hian Wah berkata seramai 23 keluarga yang terjejas dalam kejadian bah pada November lalu menerima sumbangan sebanyak RM300.

“Banjir kilat kerap berlaku di situ dan baru-baru ini berlaku lagi pada pertengahan November lalu dan semalam kita turun padang untuk menghulurkan sumbangan.

“Semoga dengan bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima,” katanya.

Beliau menjelaskan pihaknya bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) juga bekerjasama untuk menaik taraf sistem saliran di kawasan itu bagi mengelak kejadian banjir kilat berlaku.

“Saya harap penduduk bersabar kerana kita dalam proses untuk membaik pulih sistem saliran di kawasan terbabit, semoga bencana ini tidak berlaku lagi pada masa depan,” katanya.

Sebelum ini, kawasan sekitar Taman Harmoni Bukit Belimbing sering dilanda banjir kilat hampir saban tahun setiap kali berlakunya hujan lebat.

Sumber: https://selangorkini.my/2022/12/adn-seri-kembangan-hampir-rm7000-diperuntuk-bantu-23-mangsa-bah/