[Berita Harian] Selangor Lulus Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri dan Pelan Tindakan 2022-2025

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud menjawab soalan pada persidangan DUN Selangor di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam (NSTP/Faiz Anuar)

 

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini sebulat suara meluluskan usul Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025.

Usul berkenaan dibawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud dan dibahas tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ia diluluskan.

Speaker DUN, Ng Suee Lim, berkata selepas ini usul berkenaan akan diteliti oleh kerajaan sama ada di peringkat negeri pada penggal yang akan datang atau ke peringkat Pusat untuk dijadikan panduan atau cadangan di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

“Saya berharap pada masa akan datang, kanak-kanak di negeri ini tidak mengira lapisan masyarakat atau yang mempunyai masalah berkaitan kewarganegaraan dapat dijamin hak mereka dan beroleh pendidikan asas.

“Selangor satu-satunya negeri yang membentangkan dasar kanak-kanak sepanjang penggal ini.

“Kita di Selangor teliti dalam semua aspek termasuk sosial, ekonomi, kebudayaan dan tidak terlepas isu warga emas serta kanak-kanak. Ini satu kerajaan yang mesra, berjiwa rakyat, berketrampilan dan faham denyut nadi rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bangunan Annex, Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Terdahulu, ketika membawa usul berkenaan, Dr Siti Mariah memberitahu, kanak-kanak adalah aset negara dan modal insan terpenting yang bakal mengemudi tampuk kepemimpinan negara.

Justeru, katanya, pelaburan yang berterusan wajar diutamakan dalam aspek kesejahteraan dan kebajikan mereka.

“Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor dan Pelan Tindakan 2022-2025 adalah inisiatif perancangan strategik yang memfokuskan kepada 10 domain utama iaitu persediaan keibubapaan dan pra-kelahiran, kesihatan, perkembangan sosial dan komunikasi, pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak, kesejahteraan kekeluargaan, pendidikan (peringkat rendah dan menengah), peranan teknologi dalam perkembangan kanak-kanak, infrastruktur dan keselamatan, sosioekonomi dan pembabitan pemegang taruh.

“Melalui dasar ini juga, disertakan pelan tindakan strategik yang sedang dan akan dilakukan dalam usaha mencapai matlamat utama yang sudah digariskan dalam setiap domain utama dalam dasar ini.

“Melalui pelan tindakan ini, pembangunan program dan inisiatif berkaitan kanak-kanak dapat dilaksanakan secara strategik dan bersesuaian dengan latar belakang demografi dan psikografi kanak-kanak di Selangor,” katanya ketika membawa usul berkenaan.

Dr Siti Mariah berkata, Dasar Pembangunan Kanak-Kanak Negeri Selangor & Pelan Tindakan 2022-2025 ini diharapkan dapat memberikan satu panduan yang jelas dan sistematik untuk pembangunan kanak-kanak yang sejahtera di negeri ini.

Katanya, penekanan terhadap dasar ini adalah selaras dengan aspirasi kerajaan negeri berlandaskan konsep ‘Selangor Penyayang’.

Terdahulu, persidangan DUN Selangor yang bermula pada Isnin lalu ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Sumber: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1078362/selangor-lulus-dasar-pembangunan-kanak-kanak-negeri-dan-pelan